Thursday, April 18, 2013

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (BAHAGIAN 3)

(...Sambungan dari Bahagian 2):

Fahaman atau ideologi Determinisme ialah aliran falsafah metafizik yg beranggapan bahawa tiap-tiap kejadian yg berlaku sudahpun ditentukan sejak azali. Manusia dilihat sebagai tidak ubah seperti robot yg telah ditentukan nasibnya oleh Tuhan sejak sebelum kelahirannya dimana mereka langsung tidak ada keupayaan utk mengubah walau sedikit pun untung nasibnya. Jika Tuhan telah tentukan mereka akan celaka, maka celakalah kesudahan hidup mereka. Golongan ini bermentaliti demikian kerana terkeliru dgn ayat-ayat berikut (terjemahannya):

   "Dan sesungguhnya Tuhanlah yg menciptakan kamu dan apa yg kamu perbuat ini." (Surah As
     Saaffaat, ayat 96)

   "Dan kamu tidak mengkhendaki, melainkan kalau Tuhan mengkhendaki, Pemimpin semester
     alam." (Surah At Takwiir, ayat 29)

Lawan kpd fahaman Determinisme ialah Interdeterminisme yg berpendirian bahawa untung-nasib individu adalah ditentukan oleh individu itu sendiri. Ideologi ini menggunapakai falsafah 'Deisme' yg beranggapan bahawa setelah Tuhan mencipta manusia, Ia membiarkan umat manusia bebas utk mengatur kehidupan masing-masing. Manusialah yg menentukan untung-nasib masing-masing, bukan Tuhan (Sidi Gazalba, 1978).

Satu lagi bentuk kekeliruan ialah semangat dan ideologi ashabiyah. Makna ashabiyah (asabiyyat) ialah seseorang yg menpunyai perasaan yg mendalam terhadap puaknya dan menganggap adalah menjadi kewajipannya serta tanggungjawab beliau utk membela golongannya samaada pihaknya itu "benar" atau "salah" (T Wahidin Soekarno, 1985). Ashabiyah adalah semakna dgn "chauvinisme" yg bermaksud perkauman atau kepuakan. Umat Islam hari ini telahpun dihinggapi penyakit ini dimana perjuangan mereka bukan lagi berasaskan konsep "Jihad" tetapi lebih berasaskan kepentingan-kepentingan berikut:

a.   Keturunan atau etnik.
b.   Bahasa.
c.   Ideologi.
d.   Batas-batas geografikal atau geopolitikal.
e.   Kelicikan dan kepentingan politik.
f.   Kepentingan sosioekonomi.

Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan umatnya melalui sabdanya:

   "Barangsiapa terbunuh dibawah bendera kesombongan dan menyeru kpd asabiyyat atau
     mempertahankan asabiyyat, maka matinya adalah (dianggap) mati jahiliah." (Hadis
     riwayat Muslim)

Amalan bidaah juga melambangkan kekeliruan serta kejahilan terhadap din Islam. Bidaah bermaksud menambah atau mengurangkan perkara pokok yg telah disyariatkan oleh Islam. Perbuatan bidaah dalam ibadah adalah bathil dan tertolak. Sebagai contoh, bersolat tanpa wudhu; menunaikan haji dgn wang haram; berpuasa dgn berjimak disiang hari dan sebagainya. Malahan ada pendapat yg menegaskan bahawa bertahlil dan membaca talkin keatas mayat adalah haram berasaskan maksud hadis yg telah diriwayatkan oleh Imam Muslim:

   "Barangsiapa yg mengada-adakan sesuatu dalam agama kita yg bukan darinya
     adalah tertolak."

   "Setiap bidaah (perkara yg diada-adakan itu) menyesatkan, dan setiap yg menyesatkan
     itu balasannya ialah api neraka." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, kekeliruan-kekeliruan lain yg timbul terhadap din Islam bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut:

a.   Berpegang tegus dgn identiti serta nafsu sendiri dan mengenepikan al Din.
b.   Taksub membuta-tuli terhadap aqidah-aqidah dalam agama lain. (Mohd Sulaiman Yasin, 1984)
c.   Mengamalkan riba' lantaran terpengaruh dgn sistem ekonomi kapitalisme tanpa merasa berdosa.
d.   Mematuhi peraturan ciptaan manusia melebihi peraturan Allah Taala.
e.   Memuja adat-istihadat.
f.    Kecenderungan meniru gaya hidup kaum freethinker, ateis dan golongan kafir.
g.   Meraikan (menyambut) dam membesarkan hari agama-agama lain. (Ashaari Muhammad, 1988)
h.   Menghalalkan yg haram seperti menghalalkan riba'; memberi lesen utk kegiatan judi dan kelab malam;
      memberi lesen penjualan arak.
i.    Mengharam atau cuba menegah perkara halal seperti berpoligami dan lain-lain.
j.    Mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik seperti memakai susuk, pelaris, mengamalkan syihir dan
      lain-lain.


PUNCA-PUNCA KEKELIRUAN TERHADAP ISLAM

Drs T Wahidin Soekarno (1985) menegaskan bahawa antara punca yg membawa kpd kekeliruan terhadap din Islam ialah:

a.    Fahaman atau pemikiran agama yg dibawa dan ditanam oleh penjajah. Mereka menjadikan pemuda-pemudi Islam sebagai sasaran utk mereka masukkan unsur-unsur budaya sesat mereka. Pemuda-pemudi Islam pula begitu ghairah sekali mengadaptasi budaya-budaya barat dan timur tanpa memikirkan impak sampingannya. Hasilnya, timbullah masaalah penyalahgunaan dadah, budaya "black metal" dan sebagainya.

b.    Tidak memahami ajaran Islam yg sebenarnya, iaitu tidak mempelajari Islam secara syumul atau Islam sebagai "way of life". Umat Islam yg tertentu masih lagi berpendirian bahawa Islam itu hanyalah masaalah ibadah khusus sahaja seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya. Pandangan ini adalah sempit dan mereka mengamalkan ajaran Islam hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti di upacara-upacara berkhatan, beraqad-nikah, kelahiran dan kematian. Itupun bukanlah sepenuhnya.

c.   Tidak memahami sumber-sumber din Islam yg sebenar, iaitu Al Quran, Hadith serta Ijmak dan Qiyas (T Wahidin Soekarno, 1985). Mereka tidak mengambil sumber-sumber tersebut sebagai asas rujukan dalam memahami dan menghayati Islam.


Selain dari punca-punca yg telah dijelaskan ini, terdapat beberapa punca umum lain iaitu:

a.   Godaan syaitan (Ibid,.):  Syaitan adalah musuh manusia yg nyata yg sentiasa berusaha utk menyesatkan manusia dari cahaya Allah Taala. Syaitan itu terdiri dari jin dan manusia. Maka insan yg lemah imannya akan mudah terjerumus ke lembah kekufuran. Allah Taala berfirman bermaksud:

     "Iblis menjawab: Oleh kerana Engkau telah menghukum aku sesat, maka aku akan
      menghalang-halangi mereka dari jalan yg lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka
      dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka." (Surah Al A'raf,   
      ayat 16-17)

b.   Pengaruh nafsu (Ibid.,):   Nafsu kerap dikaitkan dgn sifat-sifat buruk manusia. Nafsu ialah kuda tunggangan syaitan dan iblis. Nafsu yg tidak dikawal akan mudah tersungkur ke jurang kesesatan. Nafsu buruk boleh dibahagikan kpd empat kategori iaitu:
  • Nafsu Rububiah (menyombong diri).
  • Syaitaniah  (anti-kebenaran).
  • Bahamiah  (tidak tahu malu).
  • Sabuiyah  (sikap diktator, despotik dan kejam).
c.    Faktor sosiobudaya (Ibid.,):   Ini adalah berkaitan dengan keadaan butahuruf serta kejahilan yg membawa kpd kelemahan dlm memahami agama dan terlalu taksub atau fanatik dgn adat-adat tradisi. Mereka juga malu utk mempraktikkan prinsip Islam yg sebenar kerana takut dikatakan melanggar adat, kolot atau dipulaukan oleh masyarakat. Contohnya, mereka megah dgn slogan: "Biar mati anak, jangan mati adat!"

d.    Faktor politik (Ibid.,):   Kerap berlaku dimana orang menyertai politik utk memburu kuasa dan kekayaan material. Ini telah melahirkan sifat serta watak pengampu demi mencapai kepentingan peribadi. Apabila berhasil mengumpul kekayaan, mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap masyarakat, agama dan negara. Mereka juga menyelahgunakan kuasa agar wang awam dapat diselewengkan.

e.    Sikap haloba, ingin mewah serta cepat kaya dalam waktu yg singkat. Ini membawa kpd berlakunya kegiatan-kegiatan korupsi, penyelewengan, penipuan, perniagaan haram, penindasan dan sebagainya.

f.    Pertembungan ideologi (al-ghazwu 'l-fikriy) (Siddiq Fadil, 1977):   Din Islam kini sedang berhadapan dgn musuh baru yg diistilahkan sebagai ideologi. Dalam keadaan ini, Islam banyak menerima pelbagai bentuk kritikan, tohmahan serta kecaman sehingga mengakibatkan wujudnya berbagai kekeliruan serta salah-faham terhadapnya. Musuh-musuh Islam menggunakan segala bentuk konspirasi dan strategi utk merosakkan mentaliti umat Islam dan memberi gambaran serta tafsiran yg salah mengenai Islam. Sarjana-sarjana barat yg dikenali sebagai "orientalis" telah menghasilkan karya-karya yg penuh prejudis (prasangka) serta gambaran yg jelek terhadap Islam (Ibid.,). Antara tokoh-tokoh ini ialah Philip K Hitti, Kenneth Cragg dan Wilfred Cantwell Smith.


(....bersambung di Bahagian 4)








No comments:

Post a Comment

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...