Tuesday, March 26, 2013

MASJID: GELANGGANG POLITIK ATAU PUSAT IBADAH?

ADAKAH SUATU DOSA utk membincangkan isu politik, kewilayahan dan kenegaraan didalam masjid? Adakah suatu maksiat utk membicarakan isu sosioekonomi atau yg membabitkan kemaslahatan masyarakat didalam masjid? Adakah menjadi suatu kesalahan utk menghujahkan tentang pemerintah, pemerintahan dan dasar-dasar negara didalam masjid? Dan, adakah menjadi biadab utk membahaskan tentang isu air, kebersihan tandas, pelajaran atau kesihatan awam didalam masjid?

BAGAIMANA KALAU masjid dijadikan MARKAZ (markas?) politik? Adakah ini lebih BESAR dosa dan maksiatnya? Wallahualam. Tetapi jika kita menyingkap kembali sejarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, "markas politik" mereka tiada lain dari tempat yg amat bersih dan mulia, iaitu masjid. Masjid (atau tempat sujud - iaini "sujud" kepada Allah Taala). Mengapa di masjid? Kenapa tidak di warong-warong kopi, pasar harian atau lorong-lorong sempit? Mengapa suatu isu yg menyentuh aspek ketatanegaraan, strategi, pertahanan dan peperangan dibincang dan dirancang di masjid? Mengapa tidak dibincangkan dalam gedung-gedung besar, bangunan-bangunan anggun atau pencakar-pencakar langit....?

Kenapa agaknya....? Mungkinkah lantaran ketika itu kerajaan Rasulullah s.a.w. ketiadaan dana atau tajaan utk membina "Putrajaya" di Madinah? Atau, terlalu banyak dana diperlukan bagi ekspedisi-ekspedisi ketenteraan dalam proses penyebaran syiar Allah Taala diatas mukabumi ini? Berbanding hari ini, mungkin dana sudah tidak diperlukan lagi utk menyebarkan aqidah Islamiah. Tidak juga diperlukan utk ekspedisi-ekspedisi militer bagi membenterasi musuh-musuh Islam; atau mewujudkan rasa gerun dalam hati para kafirun dan musuh Allah Taala; atau membantu saudara-saudara Islam yg tertindas. Yg diperlukan pada hari ini ialah dana utk membina sebanyak mungkin gedung-gedung mewah, kompleks-kompleks mega, pencakar-pencakar yg mampu mencecah dan mengoyakkan awan-gemawan, istana-istana hinggap di puncak alam, taman-taman khayalan yg penuh fantasi, dunia fatamorgana yg bisa digenggam....... !

Namun, adalah menghairankan jika "markas politik" masih berlegar-legar disekitar masjid. Tetapi, adakah ia suatu "isu" yg benar-benar perlu dihairankan...? Sebuah suratkabar tempatan bertarikh 22 Mac 2013 telah memaparkan isu ini dgn agak panjang dan lebar dengan tajuk: "BILA MASJID JADI 'GELANGGANG POLITIK' ". Antara lain ia "mengkhabarkan" tentang perihal "lanskap" masjid yg bertukar wajah gara-gara pertukaran "pemerintah" di wilayah berkenaan. Masjid itu hari ini digambarkan sebagai platform ceramah politik partisan. Digambarkan juga solat tarawikh disingkatkan kpd lapan rakaat utk memberi ruang kpd "tazkirah politik" dan "menghentam" parti atau pihak pemerintah. Dikatakan bahawa program masjid banyak terarah kpd parti atau kepentingan parti-parti tertentu.

Menurut akbar itu lagi, terdapat banyak masjid di wilayah berkenaan yg masih merestui "ceramah-ceramah politik" dijalankan walaupun telah diteguri oleh yg empunya otoriti atau "kuasa" utk menegur atau mencegahi. Ia juga telah melanggar arahan yg telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam wilayah berkenaan. Namun "perdebatan" masih berterusan hingga belum ada titik pertemuan dikalangan mereka. Dan, yg "berpolitik" pasti akan terus menyebarluaskan "budaya politik" mereka di masjid-masjid selagi ada ruang.....

Tetapi polemik masjid tidak dapat lari dari isu "politik dalaman" (...dikalangan "inner-circle" jawatankuasa masjid itu sendiri) selain dari pengaruh luaran. Terkadang isu ini menjadi terlalu panas dan diluar kawalan. Ini kerana "pengaruh" golongan "inner-circle" adalah berteraskan kepimpinan tradisi yg telah diwarisi sekian lama. Maka, "politik masjid" itu sendiri adalah cukup hebat gelombangnya. Ia tidak semudah cakap-cakap pintas di warung kopi. "Budaya" politik masjid di negara ini adalah suatu "budaya" yg cukup konservatif, berhirarki dan sukar berubah. "Kepimpinan politik masjid" adalah cukup kuat dan terkesan hingga ke akar-umbi masyarakat setempat. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika masjid dengan begitu mudah menjadi "markas politik" oleh pihak-pihak yg empunya pengaruh....

Soalnya, salahkah masjid menjadi tempat perbincangan atau polemik politik? Drs Sidi Ghazalba yg pernah mengemukakan tesisnya yg berjodol: "Masjid Sebagai Pusat Peradaban dan Kebudayaan Islam" sebelum menjadi pensyarah di UKM pada penghujung tahun 1970an telah menegaskan betapa masjid perlu dimartabatkan sebagai pusat "peradaban" bagi umat Islam. Soalnya, apa itu PERADABAN...? Peradaban ialah ketamadunan. Apa itu KETAMADUNAN...? Ia bermaksud kemajuan sosioekonomi dan politik, kemajuan infra, kemajuan fizikal dan, yg paling utama, kemajuan aspek moral dan spiritual insan. Dalam ertikata lain, fungsi masjid bukan hanya terbatas pada aktiviti solat, tazkirah, kelas fardu ain, upacara pernikahan atau pengurusan jenazah semata-mata. Ia perlu diperluaskan kearah merangkumi aktiviti-aktiviti pembinaan ukhuwah umat, tadbirurus masyarakat dan ketatanegaraan. Ini kerana kenegaraan tidak pernah terpisah dari kewajipan Islam. Islam meletakkan prioriti yg amat tinggi kpd "daulah" atau aspek kenegaraan. Oleh itu, jika kita memisahkan kenegaraan dengan agama, bererti kita "sekular"....

Oleh itu meletakkan masjid hanya sebagai rumah ibadah, menyampaikan ceramah agama, kelas fardu ain, bertazkirah, beriktikaf, tilawatul Quran atau tempat utk mendapat keberkatan bernikah adalah suatu "ideologi" yg tidak begitu selaras dgn roh Islam yg sebenar. Ia wajar diperluaskan termasuk menjadi pusat perbincangan mengenai hal-hal kenegaraan dan pentadbiran sosial. Isu-isu seperti penjenayahan, maksiat, kerosakan aqidah, murtad serta perancangan strategik utk membanteras permasalahannya harus juga dibincangkan didalam masjid. Bukan semua perkara harus dilihat sebagai "omongan kosong" atau "keduniawian".... Ini perlu difahami dengan betul.

Jadi, bagaimana dgn amalan berpolitik di masjid-masjid? Adakah ia wajar diterima sebagai salah-satu dari cabang dalam aktiviti peradaban Islam? Salah seorang sultan di negara ini memberi katadua melarang "aktiviti politicking" di masjid lantaran dibimbangi ia akan mendorong kpd perpecahan ummah dan masyarakat Melayu dengan lebih parah lagi... Ada "rasional"-nya sanggahan ini. Perpecahan dikalangan orang Islam terutamanya umat Melayu semakin hari semakin membimbangkan. Kenyataan-kenyataan politik serta propaganda-propaganda yg disajikan kpd masyarakat awam saban hari semakin sarat dengan api kebencian serta dendam kesumat yg tiada berbatasan. Ini pada hakikatnya merupakan suatu bentuk "budaya" yg "celaka", "bangsat" dan penuh "kebiadaban". Sudahlah nasibnya umat Melayu terus "buta-huruf" dalam politik, mereka juga turut terperangkap dalam belenggu politik tradisi yg separuh-masak, semakin longlai dan basi....

Politik pada hakikatnya tidak terpisah dari Islam. Hanya golongan sekular sahaja yg berani memisahkan politik dari agama. Walhal Rasulullah s.a.w. sendiri adalah seorang politikus yg tersohor. Baginda tidak pernah memisahkan politik, pemerintahan, dasar-dasar awam serta dasar-dasar sosial dari agama. Baginda juga tidak pernah memisahkan strategi militerisme dari Islam. Semuanya diintergrasi secara seimbang dan teratur. Dan, adakah masyarakat hari ini mampu meniru atau menerimapakai metodologi Rasulullah s.a.w. dalam memerintah negara? Jawabnya: "TIDAK". Mengapa "TIDAK"...? Lantaran mereka MEMANG tidak layak. Ilmu mereka terlalu dangkal. Iman mereka terlalu goyah. Dan, jiwa mereka bersalut dengan materialisme serta "kesan sampingan" ideologi "freethinker...." ! "Masaalah" ini adalah terlalu berat...!

Jadi, bagaimana kesudahannya? Mahu jadikan masjid sebagai "markas politik partisan" atau jadi rumah ibadah yg terpencil serta dipencilkan.....? Ia terserah kpd ummah atau masyarakat yg wujud serta berlegar disekeliling masjid (...masjid-masjid) berkenaan. Jika umat itu melihat masjid sebagai "pasar malam", maka ia akan hanya didatangi pada waktu malam sahaja. Jika umat itu mahu menjadikan masjid sebagai sebuah markas propaganda atau biro penyebaran manifesto politik sempit, maka jadilah ia sepertinya sebuah sarang para broker politik yg sempit akal. Jika umat itu ingin menjadikan masjid sebagai sebuah pusat karnival beli-belah, tapak pesta perayaan itu dan ini atau tempat tontonan para pelancong asing, maka jadilah ia seperti itu......

MAKA, pilihan adalah ditangan anda... Anda sebagai anggota masyarakat setempat, pemastautin atau ahli khariah memikul tanggungjawab yg amat besar dlm menentukan "halatuju" masjid di lokasi masing-masing. Anda akan bertanggungjawab sepenuhnya dgn apa yg bakal terjadi pada masjid tersebut. Jangan salahkan oranglain kalau "masjid" anda "dijajahi" oleh anasir yg anda benci.....

Hari ini, jika kita tidak berhati-hati, masjid-masjid kita akan "mati" atau menjadi "rumah persinggahan" para pelancong asing... Tragedi pedih yg melanda Al-hambra di Andalusia hendaklah dijadikan iktibar oleh sesiapa sahaja yg mengaku dirinya Muslim.... Ws..


Masjid Cordoba di Alhambra dijadikan gereja oleh pemerintah Sepanyol sejak abad ke 15.


NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...