Friday, June 26, 2009

BUDAYA MENJAJAH DAN TERJAJAH

Apabila kita kehilangan jati diri atau langsung terlupa untuk memikirkan makna atau pentingnya budaya dan cara hidup, kita akan mudah terperangkap. Apatah lagi jika kita tidak kenal serta berminat untuk mendalami asal-usul budaya sendiri. Maka akan mudahlah pengaruh luar membenamkan rahangnya serta mengembangbiak benih budaya dan cara hidup mereka yang sesat di rantau ini. Fenomena ini jelas terjadi di Filipina dan Indonesia dimana sebahagian besar orang-orang Melayu yang pada mulanya berpegang pada Islam dimurtadkan menjadi nasrani, ateis, free-thinker dan sebagainya hingga hari ini.

Senario ini juga sudah menjengah dan merebak di daratan Tanah Melayu. Kes Azlina Jailani (Lina Joy) adalah sebagai contoh termudah. Ada juga yang sanggup menjadi hindu atas alasan cinta. Bagaimana tentang ateis dan freethinker? Apabila Mufti Negeri Perak Dato' Seri Harussani Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250 ribu umat Islam murtad di Malaysia (termasuk 100 ribu orang Melayu yang mengistiharkan keluar agama Islam), apakah maknanya ini? Kemanakah perginya penceramah-penceramah handalan kita? Wajarkah fenomena ini dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan yang berkesan dan berani?

Ini angka tak rasmi tahun 2007. Menurut Harussani lagi, 100 ribu orang sedang membuat permohonan menunggu kelulusan murtad. Demikianlah hebatnya umat Melayu kontemporari serta penderhakaan mereka terhadap tunggak budaya Melayu, iaitu Islam. Ini tidak termasuk individu yang langsung tidak kisah bersolat, berpuasa, takkabur menentang hukum-hukum Islam serta bangkit menubuhkan pelbagai kelab serta NGO kononnya atas platform Islam. Keadaan ini dinamakan budaya menjajah. Dan yang terjajah ialah roh Islam dalam diri individu dan ummah. Mereka seolah-olah tidak tahu bahawa perlakuan serta tindakan durhaka itu bisa menyebabkan iman mereka tercabut.

Penjajah aqidah bukan semestinya muncul dari luar lingkungan masyarakat ini. Lebih berbahaya kalau ia muncul di tengah-tengah pusat masyarakat itu sendiri. Diperkukuhkan oleh jaringan dan ledakan informasi yang di luar batasan dan samasekali gagal dikekang. Pada setiap detik ada sahaja umpan-umpan segar dihulurkan melalui pancing-pancing materialism. Dan orang menjadi buta mata dan hati apabila termakan hidangan lima bintang yang disajikan itu. Semudah itu mereka menjual agama demi seteguk madu yang amat beracun.

Yang rugi ialah kita. Kurikulum pendidikan yang gagal memperjelaskan hakikat atau makna budaya yang sebenar semakin meruncingkan situasi. Anak-anak di sekolah, kolej dan institusi-institusi pengajian tinggi mungkin masih beruntung kerana boleh mempelajarinya secara langsung atau tidak langsung dari guru-guru, pensyarah atau ilmuan yang dedikasi di sekeliling mereka. Bagi golongan yang terbuang dan terpinggir, mereka kehilangan segala peluang kecuali jika ada ikhtiar untuk menyedarkan diri masing-masing.

Tambah mengharubirukan, kudis serta pekong lama masih belum sempat dipulihkan lagi. Sepanjang tahun 2005, seramai 32 ribu orang penagih dadah telah dikesan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada 15 ribu penagih baru dan 17 ribu penagih lama. Jumlah penagih berdaftar yang terkumpul di seluruh negara mulai 1988 hingga 2005 adalah seramai 289 ribu orang. Manakala bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV & AIDS ialah 51 ribu. Seterusnya jumlah pelacur di Malaysia pula dianggarkan seramai 142 ribu dimana mereka bukan sahaja beroperasi di bandar-bandar besar tetapi turut beroperasi di pekan-pekan kecil.

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula telah mendaftar seramai 70 ribu anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003. Berdasarkan statistik mengikut agama, anak luar nikah dari orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan - iaitu 30 ribu orang. Jadi, apa ertinya semua ini kepada anda? Statistik yang canggung?

Kita baru sahaja memperkatakan salah satu sudut kecil dari cabang budaya yang cukup besar dan kompleks. Pun begitu, isu murtad misalnya - dimensinya sangat meresahkan. Kitaran ganas murtad mulai menjadi semakin parah apabila ia bukan sahaja meragut akidah si jahil, tetapi mula menjengah dan memamah iman individu yang sudahpun memiliki asas agama yang kukuh. Usah lupa kepada kisah Noraisyah binti Hj Bukhari yang akhirnya murtad. Beliau adalah seorang muslimah yang lahir dari keluarga yang kuat beragama. Bukan sahaja mahir membaca al-Quran tetapi mampu menghafaz surah yasin. Manakala bapanya adalah seorang guru agama. Namun berakhir dengan murtad.

Demikian juga kes Siti Mariam binti Mohd Ismail. Beliau pada awalnya seorang wanita Islam yang bertudung labuh (sebagai lambang kewarakan) namun berakhir dengan murtad. Jika mereka yang bertudung labuh mampu diruntuhkan aqidahnya, bagaimana dengan mereka yang mengamalkan cara hidup sekular dan yang suka memperlekehkan cara-cara tradisi? Apakah jaminan yang ada terhadap aqidah mereka?

Dengan munculnya pelbagai rancangan realiti dan karnival-karnival seni hiburan yang menjanjikan berbagai jenis habuan ditengah-tengah masyarakat, tampaknya kita semakin bertambah hanyut. Apakah yang sebenarnya dijanjikan oleh rancangan-rancangan ini? Pakej hadiah lumayan atau keruntuhan aqidah? Atau kedua-duanya sekali? Tepuk dada tanya selera. Generasi muda yang masih hijau mudah terkulai lantaran dadanya yang kosong tanpa ilmu dan cahaya. Ruang gelap yang ditempuhi akan menjadi bertambah sempit dan menyesakkan.

Ditengah-tengah kekalutan ini muncul pula si dajjal yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 kini bergerak aktif dengan mengadakan seminar dan forum rakyat bagi mempromosi konsep hak kebebasan beragama. Mereka juga turut memperjuangkan agar semua jenis kes termasuk kes agama seperti murtad dan sebagainya tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi di mahkamah awam.

IFC dalam objektif penubuhan mereka jelas menunjukkan perjuangan mereka ke arah memurtadkan ummat Islam di Negara ini. Amat malang sekali wujudnya di kalangan penggerak kumpulan-kumpulan kebebasan beragama ini adalah terdiri daripada mereka yang mengaku berpegang beragama Islam. Ini terserlah melalui beberapa tuntutan karut dan sesat yang dipinta oleh mereka, antaranya:

1. Seseorang anak yg dilahirkan oleh Ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

2. Orang–orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam, hendaklah memberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama seseorang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah Sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami Isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam, hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan tertentu.

9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bibel dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan secara umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.


Haruskah kita berdiam diri? Lantas membiarkan syaitan-syaitan dalam bentuk manusia ini membutakan hati masyarakat sebelum membenamkan pedang berbisanya ke dalam jantung kita?

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...