Sunday, February 28, 2010

SAINTIS KORUP DAN INTELEK SONGSANG

Usah kita keliru bahawa sains dan intelektual adalah sebahagian dari unsur-unsur yang bersepadu dalam konsep BUDAYA. Jangan kita fikir budaya itu cuma berbudi bahasa, bersastera, bersyair, berpantun atau yang agak lebih ekstrim - menyanyi, berqasidah, berpakaian tradisi. Ia lebih dari itu. Lingkaran atau jangkauannya lebih luas dan dalam dari apa yang bisa digambarkan oleh aqal individu.

Mari kita bercakap soal sains, teknologi dan intelektualisme. Apa itu sains? Apa itu teknologi? Dan apa itu intelektualisme? Adakah ia berbeda dari ilmu sastera atau kemanusiaan? Apakah ia perlu diasingkan antara kedua-dua gugusan ini? Apakah rumusan anda dalam konteks ini? Apa perlukah kita berdebat, berselisih dan bertelingkahan dalam persoalan duniawi yang serba sempit ini berbanding ilmu Allah Taala?

Tidak semestinya seorang yang memiliki ijazah Sarjana Muda, Sarjana falsafah atau Doktor Falsafah sahaja berhak digelar saintis atau Intelek. Para tokoh terdahulu seperti al Farabi, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan ramai lagi tidak pernah menjejakkan kaki ke kolej atau universiti. Mereka tidak perlu ke Oxford, Harvard atau Cambridge untuk menjadi saintis yang tersohor - BUKAN DALAM SATU, tetapi di pelbagai bidang. Sebagai contoh, Ibn Sina lebih terkenal sebagai tokoh navigasi berbanding Saintis dan tokoh perubatan.

Demikianlah. Ia amat bergantung kepada kesungguhan serta dedikasi individu dalam memantapkan diri serta keilmuan masing-masing didalam sesuatu bidang. Dan, setelah menguasai ilmunya, beliau berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan orang lain. Beliau memperkembangkan keilmuan itu kepada masyarakat disekelilingnya. Beliau mempergunakan ilmunya bukan untuk maksud materialisme tetapi demi kemunafaatan serta kemaslahatan masyarakat dan anakbangsanya. Barulah layak dikatakan beliau itu adalah seorang cendekiawan atau INTELEK. Segala daya fikirannya disalurkan untuk kepenting masyarakat dan negara berteraskan kekuatan ilmu yang telah dibina serta aqidah yang mantap. Inilah konsep asas intelektual.

Dalam membina sebuah negara yang gagah perkasa serta digeruni, bagaimana ini bisa dicapai? Mungkin terlalu berat untuk dipikul kalau hanya segelintiran ahli dalam masyarakat mempunyai keupayaan intelektual sedangkan yang lain hanya bergantung harap kepada mereka untuk membina negara ini.

Cuba kita lihat bagaimana German yang tewas dalam Perang Dunia Pertama (pada tahun 1917) mampu memulihkan kekuatannya lantas menyerang negara-negara jiran hingga mencetuskan Perang Dunia Kedua pada tahun 1939. Kita bukan mahu meniru gerak langkah Rejim Hitler membina negaranya. Tetapi kita patut belajar bagaimana si diktator yang digeruni dunia ini merangsang masyarakat, para saintis dan negaranya hingga mampu bangkit dari ketewasan tahun 1917 serta sanksi ekonomi dan seterusnya menjajah negara-negara lain demi mengabuli cita-cita Nazisme yang dikatakan sempit dan cukup perkauman itu.

Kita kerap kalinya termakan momokan barat. Apabila pihak barat mencanangkan bahawa sesuatu ideologi itu bangsat, hina dan brutal (contonya "terrorism"), maka semua pihak perlu akur kepada pernyataan itu. Kita gemar sangat tunduk kepada barat. Walhal kita tahu bahawa dari barat itulah datangnya budaya-budaya sesat, kufur dan munkar. Dari barat itulah munculnya gerakan freemason dan zionis yang berusaha memecahbelah dunia agar ia mudah dibelenggu dibawah satu pemerintahan satanik. Kita enggan menoleh apabila adegan-adegan sandiwara ciptaan Hollywood atau BBC dipaparkan. Mungkinkah kita sudah terlalu korup hinggakan CocaCola serta susu Nestle yang kita tunggang sudah tidak menjadi apa. Lantaran zionisme sudah terlarut dalam darah dan nadi kita?

Tetapi yang perlu dirisaukan ialah korupsi dalam pemikiran golongan intelek kita yang segelintir itu. Materialisme atau pemburuan matlamat peribadi adalah sesuatu yang amat merangsang minda. Hingga orang sanggup lakukan apa sahaja demi mencapainya. Dan, masyarakat kita tidak terkecuali dari virus ini. Apa yang dicapai ialah demi keperluan naluri yang cukup tersembunyi. Tiada siapa yang tahu kecuali individu yang memiliki tubuh-badan itu. Kerakusan dan loba tiada siapa yang dapat melihatnya, kecuali Allah Taala. Dan, dalam kerakusan itulah bangsa akan dibebakkan. Sebagainya pohon yang dimakan anai-anai. Kekuatan mereka dilumpuhkan tanpa disedari.

Mahukah kita menjadikan bangsa ini barang mainan serta perjudian kuasa-kuasa barat dan timur terutamanya bangsa-bangsa kufar? Dan, kita masih enak dalam belaian tilam empuk yang diimport khas dari negara-negara imperialist? Serta dibuai oleh musik-musik ciptaan syaitan? Lantas kita cepat mengagumi dan mengagungi mereka yang menjajah dan siap-sedia untuk menjajah buat kesekian kalinya?

Adakah api kesedaran yang pernah membara dan membakar punggung-punggung penjajah kini semakin sejuk disirami embun modenisasi yang belumpun seberapa ini? Bukankah masih ramai yang terlantar kemiskinan dan kemelaratan tanpa pembelaan yang wajar? Berapa banyak lagi yang kecundang dalam gelanggang perdadahan, persundalan, kepengangguran tegar, buta kemajuan, lumpuh dalam penyakit kronik, keciciran dilanda pertaka ekonomi tidak menentu yang digelumangi ketidakadilan dan jurang pendapatan yang cukup mengerikan? Dan, kita terus mendabek-dabek dada di pementasan politik serta media massa yang kian robek maruahnya?

AMAT menghairan apabila kita mencipta angan-angan materialistik untuk anak-anak serta para pelajar baik di sekolah mahupun di universiti. Kita membina dan merangsang cita-cita materialistik didalam jiwa golongan muda dan mentah ini sedari usia terlalu hijau. Dan, rangsangan ini pasti berkesan dengan adanya penstrukturan serta perancangan pendidikan yang bertepatan dengan maksud itu. Sebagai pelengkap, kita ciptakan dasar-dasar serta falsafah yang akan mengikat semua ini didalam satu penjara kabur lagi mengaburkan. Adakah kita benar-benar jujur dalam teori, amalan serta tindakan kita?

Berbalik kepada Hitler dan Jerman yang cukup dibenci suatu ketika dahulu, negara ini tewas dan bankrup akibat menyalahgunakan sumber negara dan disalurkan untuk matlamat imperialisme. Namun begitu, ia cepat bangkit. Sebagaimana kebangkitan semula Jepun yang tewas akibat serangan bom atom yang tidak bermaruah oleh negara pengecut (kerana membunuh penduduk awam Hiroshima dan Nagasaki). Meskipun berhadapan dengan pelbagai kongkongan, German tetap muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi, teknologi dan militer yang digeruni. Model Mercedes Benz dan VolkWagon masih tetap dianggap berprestij dan jadi gilaan dunia. Tidak kurang Italy yang tewas perang dibawah Mussolini. Ironi, ketiga-tiga negara ini sudah lama menjadi ahli dalam pakatan G7 (Kelab 7 negara terkaya dunia - dibentuk pada 1976 - terdiri dari Italy, German, USA, UK, Jepun, France dan Kanada) yang kerap mempengaruhi rentak tari ekonomi global.

Ini bererti Jerman, Jepun dan Italy hanya perlukan kurang 30 tahun untuk bangkit kembali sebagai KUASA DUNIA, walaupun ketiadaan hak VETO. Sebagai bekas kuasa militer dunia pernah ditewaskan sebanyak dua kali berturut-turut, negara unik ini tetap bangkit dalam teknologi kejuruteraan dan saintifik. Ensiklopedia Wikipedia memaparkan bahawa Jerman merupakan kuasa ekonomi terbesar di Eropah, ketiga terbesar di dunia dari segi KDNK dan kelima dari segi kuasa membeli. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2007 dicatatkan sebanyak 2.4% dan dijangka akan mengekalkan tahap ini pada tahun-tahun berikutnya. Sila tatap catatan berikut (petikan dari Wikipedia):

  • Sejak Era Industrialisasi, negara ini telah menjadi penggerak, pereka dan penerima faedah yang besar sebagai sebuah ekonomi terbuka. Pengeksportan barangan buatan Jerman adalah faktor utama kekayaan negara ini. Jerman ialah negara pengeksport terbesar di dunia dengan jumlah dagangan mencecah €969.1 bilion pada tahun 2007 (termasuk kawasan Euro) dan menghasilkan lebihan dagangan bernilai €159 bilion.
  • Sektor perkhidmatan menyumbang sekitar 70% daripada keseluruhan KDNK, berbanding perusahaan sebanyak 29.1% dan pertanian sebanyak 0.9%. Kebanyakan produk negara ini ialah dalam bidang kejuruteraan, khususnya automobil, jentera, logam dan barangan kimia. Jerman juga merupakan negara pengeluar terbesar dunia bagi teknologi turbin angin dan tenaga suria.

  • Beberapa perhimpunan dan pameran dagangan tahunan terbesar dunia diadakan di beberapa buah bandaraya Jerman seperti Hanover, Frankfurt dan Berlin.

  • Di kalangan syarikat yang disenaraikan di bursa saham terbesar dunia mengikut pulangan, iaitu Fortune Global 500, 37 daripadanya berpangkalan di Jerman. Sepuluh terbesar adalah Daimler, Volkswagen, Allianz (syarikat paling untung), Siemens, Deutsche Bank, E.ON, Deutsche Post, Deutsche Telekom, Metro dan BASF.

  • Di kalangan majikan terbesar pula antaranya ialah Deutsche Post, Robert Bosch dan Edeka.
  • Jenama terkenal dunia pula ialah Mercedes Benz, SAP, BMW, Adidas, Siemens, Porsche, Volkswagen dan Deutsche Bank.

Ini sekadar contoh. Kita tidak perlu memuja negara ini lantaran kekayaan ekonomi dan kemantapan teknologinya. Tetapi kita tidak semestinya menolak dari menolehnya walaupun ia merupakan negara taghut. Yang perlu ialah kesedaran untuk mempelajari sesuatu yang positif disebalik kekufarannya. Sebagaimana pesanan Rasulullah agar kita ke negeri China jika perlu demi menuntut ilmu. Saranan Rasulullah itu adalah cukup simbolik. Bererti, bukan sekadar terhad kepada China, malah dimana-mana sahaja ilmu itu bersarang. Pergilah dan belajarlah walaupun hampir memasuki liang lahat. Demikianlah hakikat budaya hidup Islamik.

Jerman sudah lama mengamalkan sistem pendidikan yang berintegrasi. Mereka memulakan alam pendidikan seawal umur 6 tahun dengan 70 buah (termasuk 13 universiti teknikal yang menawarkan teknologi "cutting-edge" dan 8 buah universiti membekalkan ilmu sains sosial yang memperkukuhkan dasar sosial, perancangan ekonomi serta amalan berpolitik di negara itu. Ia juga mengamalkan dasar pendidikan percuma serta menggalakkan pihak swasta turut melibatkan diri dalam mengendalikan.

Berbalik kepada tanahair sendiri. Masihkah di takuk lama agenda, pentas serta lakunan politik kita? Sudah 53 tahun kita merdeka. Tetapi mentaliti kita masih terbelenggu dengan rantaian neokolonialisme dan sekularisme. Mungkinkah kita juga dibelenggu oleh ideologi neokonservatisme dan teori konspirasi? Atau, kita masih terlalu disibukkan oleh persoalan korupsi, khalwat, persekedudukan, dadah dan rempit hinggakan agenda utama pembangunan terpinggir ke belakang dan dikuntangkantingkan sewenang-wenangnya?

Atau, kita sedang membentuk sebuah "negara polis" (police state) sebagaimana Greek dan Rom kuno? Dan, lagi-lagi persoalan liwat lebih menjadi daya tarikan? Adakah kita terjebak dalam konspirasi LIWAT atau terlalu LEWAT dalam pembangunan teknologi dan saintifik? Cuba fikirkan. Sampai bila kita harus membayar lesen berbilion ringgit lantaran menggunapakai teknologi luaran? Setelah lebih setengah abad dimerdekakan, kita masih belum merdeka. Kita masih bercabang-cabang dalam menentukan kiblat pembangunan yang mahu dibina serta budaya saintifik yang ingin direalisasi. Atau, kita mahu membandingkan kemajuan kita dengan angkatan negara-negara Selatan lain yang masih terbelenggu dalam penjara kemunduran dan kemelaratan?

Ironi. Kita masih gemar membandingkan nasib kita dengan Vietnam, Myanmar, Kampuchea atau Somalia? Bagaimana mungkin kita bersaing jika suka membandingkan diri dengan si miskin dan si papa kedana? Jika begitulah perangai dan bawaan, sampai bilapun kita tidak akan maju ke hadapan untuk mencabar keangkuhan kuasa-kuasa teknologi timur dan barat.

Ini bukan soal individu, tapi soal survival bangsa dan negara.

- neosangsapurba

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...