Monday, December 21, 2009

TAHYUL DAN REALITI

Persis kehilangan modal dan idea. TV dan pawagam tempatan dilambakkan oleh cerita-cerita hantu, saka, santau, sihir, puaka dan apa-apa sahaja yang seangkatan dengannya. Kita dihidangkan dengan adegan pertarungan antara manusia dengan syaitan, pak lebai berkonflik dengan jembalang, manusia normal bertukar menjadi orang minyak lantaran kuasa dan putus asa dan sebagainya lagi.

Seolah-oleh dunia hampir menjadi tempat tidak selamat. Pukau, santau, saka dan perbomohan menjadi alat permainan hidup. Malah menjadi senjata dalam mencapai kejayaan duniawi. Kisah Mona Fendi masih belum lekang dari ingatan masyarakat MELAYU. Adegan-adegan brutal, penyembelihan, penyemahan darah bayi atau jenin menjadi sesuatu yang dipertontonkan. Khurafat terus menjadi alat mainan. Alat untuk mencipta kekayaan yang cepat dan hebat oleh karyawan-karyawan yang kononnya memperjuangkan seni dan budaya Melayu!

Apakah ini cerminan masyarakat Melayu? Hantu, jembalang, hasutan, cemburu, iri hati, sihir dan sebagainya merupakan ramuan tradisi bangsa Melayu? Yang perlu diketengahkan semula demi kelangsungan budaya, warisan keilmuan dan intelektual orang-orang Melayu?


Dan, kita cukup hebat apabila berjaya mengaitkannya dengan beberapa bait ayat-ayat Allah - sebagai slot khas demi memastikan filem, drama atau karya-karya berkenaan "lulus" untuk tayangan umum? "Lulus" untuk dikomersialkan? "Lulus" untuk buat duit?

Hantu, syaitan, jembalang dan pontianak berada dimana-mana sahaja. Hanya menantikan waktu dan peluang untuk melakukan "serangan" keatas sesiapa yang diingininya. Adakah benar begitu? Jika BENAR, sudah berapa ramai manusia yang mati dicekik jembalang? Sudah berapa ramai yang mati lantaran darahnya dihisap kering oleh pontianak? Sudah berapa ramai yang jatuh bankrup lantaran wang dan harta-bendanya di curi oleh toyol-toyol wak lebai yang kononnya mengimport toyol-toyol itu dari Mekah?


Apakah ertinya? Untuk membangkitkan keinsafan? Atau, menebalkan lagi kesesatan dan penyelewengan terhadap aqidah suci Islam? Mencelaru dan menjahanamkan lagi pegangan tauhid orang-orang Islam? Sebagaimana, filem-filem bollywood yang kerap mempertontonkan berhala dan filem hollywood yang mempertontonkan salib, kita juga tidak kalah dalam mempertontonkan kesesatan dan kekhurafatan kepada masyarakat awam? Dengan tanggapan bahawa orangramai sudah cukup matang dan memiliki otak yang licik untuk mematah serangan-serangan aqidah dan menapis apa yang difikirkan sesat lagi menyesatkan?

Sesungguhnya, ia tidak semudah itu. Suara-suara syaitan dan iblis yang tidak henti-henti menaburkan dakyah dan janji-janji manis akan terus memporak-perandakan jiwa seseorang individu Muslim. Ini, semua sudah tahu. Sebagaimana janji iblis sewaktu dicampak keluar dari Syurga. Iblis telah berjanji untuk menyesatkan setiap keturunan anak Adam hingga hari Qiamat. Dan, itulah yang diperlakukannya, sejak dahulu hingga sekarang. Sampai Qiamat! Dan, jangan sampai kita yang menjadi jentera gerakan-gerakan yang menyesatkan itu!

Kita bukanlah mahu menolak kewujudan makhluk-makhluk ini. Kita sekadar digalakkan mengetahui bahawa benda-benda ini memang wujud sebagaimana sebahagian dari penghuni alam raya ini. Tetapi, kita ini, - manusia - sebagai makhluk yang telah diberikan kemuliaan serta rupa paras paling indah dikalangan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, kita sepatutnya berterimakasih serta tunduk dan patuh kepada-Nya. Bukan kepada syaitan, iblis, langsuir, bunian, jin atau toyol! Bukannya meminta tolong kepada makhluk-makhluk yang lebih rendah martabatnya ini (daripada manusia), sebagaimana amalan animisme, musyrikin, pawang-pawang dan lain-lain. Ini boleh menjatuhkan kita ke dalam jurang syirik dan kesesatan yang amat jauh!

Pernahkan Nabi s.a.w suruh kita hebatkan atau perbesarkan hantu? Atau jin? Atau apa-apa sahaja makhluk yang wujud di alam semesta? Tidak pernah. Tetapi mengapa? Mengapa kita cuba menggalakkan ini? Mengapa harus dipapar dan dipromosikan dengan semahu-mahunya melalui filem, drama atau apa-apa sahaja media? Sebagai suri teladan? Teladan yang bagaimana? Bukankan para peragut lebih banyak membunuh berbanding hantu atau puntianak? Dan, pernahkah anda mendengar kisah puntianak mengamok dimana-mana dan membunuh sekian banyak orang? Jika ada, ini bererti George Bush atau Hitler adalah adipontianak, "supervampire", atau bapak segala pontianak dan hantu jembalang di muka bumi ini. Lantaran mereka telah membunuh beratus malahan ribuan nyawa yang tak berdosa tanpa sebarang ikhsan!

Tanyalah diri sendiri. Dimana letaknya akal kita? Kemana mahu dibawa seni dan budaya kita ini (jika ada seni dan budaya...). Apakah kiblat kita? Apakah yang sebenarnya agenda strategik yang mahu diketengahkan oleh para "ibu dan bapak" seni sekalian? Seni ialah kehalusan, kelembutan, keindahan. Bukannya kebuasan, kedasyatan, kesesatan. Apatahlagi kepalsuan, khayalan, kesyaitanan. Mengapa fileh hindi kerap mengetengahkan slot penyembahan berhala, adegan di kuil, adegan-adegan penuh kesyirikan?

Dan, mengapa hollywood gemar sekali memaparkan gereja, salib, ateisme, freemasonisme, freethinker..? Steven Spielberg (bukan sekadar beliau, tapi ramai lagi karyawan-karyawan zionis-yahudi yang mendominasi hollywood) paling rajin membuat eksperimentasi tentang kekuatan - seolah-olah tiada lagi kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa "hero" dalam filem-filemnya. Apakah ertinya ini? Ertinya, seboleh mungkin, beliau mahu manusia melupai dan mengengkari tentang wujudnya "TUHAN" bagi alam semesta ini! Seolah-olah dunia dan alam semesta ini digambarkan sebagai tidak bertuhan. Demikianlah halus dan tajamnya propaganda para orientalis dan pendokong-pendokong zionisme dunia.

Jangan sekadar merenung, tapi bukalah minda dengan seluas-luasnya. Pertajamkan renungan itu. Dan, fikirkanlah dengan serius. Mengapa kita diciptakan? Untuk mengagongkan siapa? Untuk tunduk kepda siapa? Dan, untuk menjadi hamba kepada apa? Kemanakah arah kita? Dan, dimanakah nanti kita akan berakhir? Biar hanyut dilanda ombak, tapi, jangan hanyut dilanda khayalan-khayalan yang menyesatkan. Wassalam.

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...