Thursday, November 14, 2013

SOAL KETUANAN MELAYU


(Artikel ini telah siap ditulis pada December 16, 2011 at 8:47pm)


Saya tertarik dengan lidah pengarang salah-satu suratkabar prima di negara ini yang bertajuk: "Cuba bayangkan jika Melayu hilang kuasa!". Karangan tersebut dimulakan dengan nada berikut:

"Peringatan demi peringatan dikeluarkan tentang Melayu mungkin hilang kuasa pada pilihanraya umum akan datang. Lalu gesaan demi gesaan juga dilontarkan supaya orang Melayu dan Islam bersatu dan saling bekerjasama."

Di perenggan empatbelas beliau menegaskan agar pemimpin-pemimpin Melayu terutama dalam UMNO dan PAS perlu mencari titik temu dan meletakkan faktor keutamaan ditempat yang betul. Lidah pengarang diakhiri dengan tegasan berikut:

"Sebagaimana disarankan oleh Mufti Perak agar UMNO dan PAS perlu memberi keutamaan pada agama dahulu berbanding politik. Malah kenapa kita harus bermusuhan sedangkan Islam tidak menyuruh kita membenci sesama umat sebaliknya diseru kasih-mengasihi sesama ummah. Bersatulah Melayu!"

Sekali imbas kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan lidah lembut yang ditakdirkan tidak bertulang ini. Kita sebenarnya tidak tahu siapa, pengarang atau ahli redaksi yang mana telah memancarkan karangan tersebut. Kita tidak pasti apa kelulusan akademik mereka dan entah apa kepakaran sebenar mereka selain dari memutarbelitkan fakta atau kata-kata. Sukar untuk dipastikan samaada ia lahir dari hasrat yang benar-benar ikhlas. Atau tulisan tersebut juga merupakan salah satu dari dakyah politik yang tidak habis-habis cuba membelit akal bijak orang-orang Melayu.

Mengapa terjadi demikian? Ini kerana apabila karangan itu menyarankan agar kita mengutamakan agama dahulu berbanding politik, ia jelas menggambarkan bahawa pengarang/penulis atau sidang redaksi itu masih kabur dan buta terhadap makna politik itu sendiri. Apabila beliau/mereka gagal merangkumkan politik sebagai sebahagian dari tanggungjawab agama maka ini bererti mereka ini benar-benar rabun atau buta politik (political iliterate). Tetapi lagak mereka mengalahkan juara-juara, broker-broker atau saudagar-saudagar politik sendiri.

Bagi golongan ini, saya ingin sarankan agar cepat-cepat masuk kelas malam dan belajarlah dulu asas-asas sains politik. Sampai bila kita harus menjadi kambing gurun yang segan (atau terlalu sombong) untuk beramah-tamah dengan kambing-kambing di hulu kampong? Belajarlah mengenal huruf-huruf awal sebelum benar-benar cuba mengupas isu politik. Hentikanlah ajaran-ajaran songsang yang menyesatkan orang-orang Melayu. Kita terlalu lama berlagak bagai ayam jantan. Sekadar pandai berkokok, tetapi sebiji telor pon tak mampu dikeluarkan. Baik jadi ayam betina! Sekurang-kurangnya pandai bertelur walaupun tidak reti berkokok! Kita terlalu banyak menipu. Sebab itulah Melayu jadi semakin kalut, melalut dan mengarut!

Betapa tidaknya? Suratkabar Melayu yang bergelandang pada hari ini lebih merupakan gelanggang untuk pertarungan politik! Apa yang terhidang atau terhias dalam lembaran-lembaran kertas lebar berwarna kelabu asap itu kadang-kala tidak lebih dari sampah-sarap yang keluar dari otak penyangak politik yang memang sudah kelabu asap! Apa yang tersurat atau tertulis itu hanya sekadar untuk menambah lagi kerosakan pada saraf otak yang sudah tersedia rosak dek kecanduan rokok dan alkohol! Jadi, bagaimanakah otak yang kelabu asap dapat membayangkan bagaimana jika Melayu hilang kuasa?

Hakikatnya Melayu memang sudah lama HILANG KUASA gara-gara rentak-tari serta putar belit segelintir Melayu yang GILA KUASA. Cuba tanya diri anda, adakah anda memiliki apa-apa kuasa? Kalau ada, berapa banyak? Sebesar mana? Seluas atau sedalam mana ia dapat menjangkau atau mempengaruhi keputusan-keputusan sosial atau menjuarai kepentingan-kepentingan rakyat? Jika tidak, jangan cakap banyak. Itu bermakna anda memang TIDAK ADA KUASA!

Itulah HAKIKAT yang sebenarnya berhubung Melayu hari ini. Mereka cuma bimbangkan kuasa politik mereka tumbang menyembah bumi sepertimana pokok balak yang rebah dek kerakusan syaitan-syaitan kayu balak di negara ini. Mereka hanya takut kehilangan undi dalam pilihanraya-pilihanraya. Mereka takut kehilangan jawatan dan segala hak istimewa, gaji, elaun dan ganjaran sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Mereka sangat ngeri untuk kelesapan gelaran "Yang Berhormat", peluang meraih "Datuk", "Datuk Seri", "Tan Sri" dan entah apa-apa lagi. Dan, yang paling pokok, mereka amat takut untuk HILANG KUASA! Lantaran HILANG KUASA bererti hilang segala peluang untuk membolot kekayaan dan memenuhi kegelojohan masing-masing!

Saya bukannya mahu menolak pentingnya perpaduan Melayu. Jauh sekali untuk menolak Islam dari Melayu. Tetapi adakah kita benar-benar jujur dan ikhlas apabila memperkatakan politik Melayu dan arahtuju orang-orang Melayu? Kita sudah lebih setengah abad merdeka dari penjajahan. Tetapi mengapa Melayu terus ketinggalan dalam ruanglingkup pengaruhnya sendiri? Mengapa majoriti Melayu kita terus tersisih dan kian terpinggir dari pembangunan dan kemajuan? Kenapa ekuiti Melayu terus lesap dari genggaman dari hari ke hari? Dan akhirnya kita menjadi di bangsat di tanah air sendiri?

Selama ini kita berkuasa. Dan pada hari ini kita masih lagi menjadi pemegang mandat utama politik negara. Tetapi dimana silapnya? Mengapa kita terus tewas dalam konteks sosioekonomi? Mengapa kita gagal? Mengapa hanya segelintiran Melayu sahaja yang menjadi juara ekonomi sedangkan yang lain terbungkang menjadi juara-juara bangsat? Kita memang ramai jaguh-jaguh akademik, pakar-pakar kejuruteraan, tekong-tekong ekonomi dan macam-macam lagi. Tetapi apakah yang sebenarnya terjadi? Mengapa juara-juara ini tidak dirangkumkan dan kepakaran-kepakaran mereka digembling dalam merealisasikan cita-cita kemajuan umat Melayu? MENGAPA? MENGAPA TIDAK DILAKUKAN?

Kita sering membebel dan mengigau bila membicarakan persoalan kuasa. Bagaimana kalau Melayu benar-benar hilang kuasa? Soalnya, pernahkah umat Melayu kehilangan kuasa di negara ini? Pernahkah tercatat dalam sejarah bahawa Melayu hilang kuasa? Melayukah atau si aristokrat, si borjuis, si tuan-tuan tanah kedawung atau raja-raja laut dan raja-raja darat yang kehilangan kuasa dan tampok masing-masing? Sebelum menjawab persoalan ini, adakah anda tahu pengertian "KUASA"? Dan, bagaimana KUASA boleh MUNCUL? Serta, SIAPAKAH yang BERHAK pada KUASA itu? BAGAIMANA mereka boleh bangkit dan berani mendabik dada bahawa mereka BERHAK untuk BERKUASA serta MEMPERALATKAN kuasa itu mengikut kehendak hati mereka?

Saya jelaskan secara ringkas: KUASA ialah suatu WEWENANG (otoriti) atau mandat yang diamanahkan yang boleh digunakan untuk menentukan atau mempengaruhi sesuatu keputusan dan tindakan. Ini dalam konteks politik. Ia sebagaimana kuasakuda yang memacu sesebuah jentera. Semakin besar kapasiti kuasakuda, maka semakin hebatpacuannya. Bezanya ialah, kuasa politik terlalu hebat impaknya. Cukup mengerikan. Semakin tinggi kuasa politik, maka semakin dasyat keputusan sosial yang boleh dirangka dan dibuat. Dan, yang paling merungsingkan, kuasa politik cukup korup! Kecuali untuk mereka yang benar-benar ikhlas ingin mengorbankan jiwa dan raganya untuk masyarakat. Tetapi yang kerap terjadi adalah sebaliknya. Ada yang masuk politik untuk mengorbankan orangramai! Itulah yang dilakukan oleh Stalin, Hitler, Bush, para yahudi dan ramai lagi.

Sebenarnya Melayu memang sudah kehilangan banyak kuasa. Jika dikaji lebih jauh, alam Melayu Nusantara yang disebut sebagai MALAYSIA oleh para penjajah eropah di abad ke 15 dahulu merupakan rangkuman wilayah yang cukup luas meliputi keseluruhan kepulawan Indonesia, selatan Siam, keseluruhan Filipina, Irian Jaya, New Guinea, utara Australia dan Tanah Melayu. Inilah wilayah kuasa dan pengaruh umat Melayu yang sebenar yang kini cuma tinggal nama kecil yang di gelar Malaysia. Jika empayar Melayu Melaka ditakdirkan tidak roboh, mungkin istilah NUSANTARA akan digantikan oleh sebuah wilayah yang cukup luas dan paling berkuasa di Asia Tenggara yang digelar negara MELAKA!

Tetapi loba dan ketamakan terhadap kuasa telah meruntuhkan segala-galanya. Potensi empayar Melaka untuk menjadi salah satu kuasa besar di rantau Asia hanya tinggal sejarah dan mimpi kosong. Tidak mungkin kuasa militer Melayu Melaka akan bangkit lagi hingga kiamat. Itulah gara-gara kegilaan yang melampau batas terhadap kuasa atau mandat yang telah diamanahkan oleh DEMANG LEBAR DAUN kepada SANG SAPURBA melalui KONTRAK SOSIAL yang telah dipersetujui bersama. Penyalahgunaan yang menjadi sesalan untuk umat Melayu sehingga mati!

Apa komen anda..?


Tuesday, April 30, 2013

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (Bahagian 5 - Akhir)

(...sambungan dari Bahagian 4)

Keistimewaan din Islam akan dapat kita lihat dalam huraian-huraian seterusnya:

a.    Agama Islam berasal dari Allah Taala:   Sumber agama Islam dan pencipta peraturan serta kaedahnya ialah Allah Taala. Ianya disampaikan melalui wahyu yg diwahyukan kpd Rasulullah s.a.w. dalam bentuk kalimah Allah (Al Quran) dan penafsiran (sunnah). Allah Taala berfirman bermaksud:

       "Dan sesungguhnya kamu diberi Al Quran dari sisi Allah yg Maha Bijaksana lagi Maha
        Mengetahui." (Surah An Naml, ayat 6)

Allah Taala memperingatkan iaitu rasulNya tidak pernah berdusta sebaliknya apa yg telah disampaikan oleh rasulNya itu adalah perintahNya semata-mata:

      "Dan dia tiada berkata menurut kemahuan hawa nafsunya sendiri. Perkataannya itu
        tiada lain hanyalah wahyu yg diwahyukan (kepadanya)."  (Surah An Najm, ayat 3)


b.    Islam sempurna dan adil:    Kesempurnaan hukum-hukum yg diturunkan kpd manusia menunjukkan penciptanya (Allah SWT) Maha Sempurna. Hukum Islam mempunyai nilai keadilan serta persamaan yg tinggi yg baru pada abad ini dikenalpasti serta cuba ditiru oleh masyarakat barat. Kepincangan undang-undang ciptaan manusia telah menyedarkan mereka bahawa tiada satupun konsep dan prinsip-prinsip ciptaan mereka benar-benar dapat dibersihkan dari gejala-gejala berat sebelah, diskriminasi, perkauman, memperkosa hak-hak asasi dan sebagainya. Jalan yg lurus ialah kembali kpd ajaran Allah Taala. Dalam sebuah hadith sohih, Rasulullah s.s.w. pernah bersabda yg memberi gambaran betapa Islam itu adil dan saksama:

     "Sekiranya anakku Fatimah mencuri nescaya kupotong juga tangannya."


c.     Islam menolak asabiyah:     Mengenai konsep asabiyah (ideologi perkauman sempit) yg sedang melanda dan terus menjadi-jadi pada hari ini samaada dikalangan umat Islam mahupun non-Muslim, Allah SWT telahpun memberi peringatan utk dijadikan iktibar oleh semua:

     "Wahai manusia!  Sesungguhnya Kami jadikan kamu dari seorang lelaki dan
       seorang perempuan dan Kami jadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar
       kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya orang yg paling mulia diantara kamu
       adalah orang yg paling takwa." (Surah Al Hujarat, ayat 13)


d.     Hukum Islam adalah lengkap:     Islam itu lengkap kerana din Islam itu sendiri bukan dihasilkan oleh fikiran manusia yg pada dasarnya begitu dangkal dan terbatas kemampuannya. Allah Taala yg mencipta sendiri din Islam. Maka tiada keraguan lagi betapa ianya lengkap dan sempurna.

e.     Din Islam adalah sejagat (universal):     Islam diturunkan utk seluruh umat insan dgn tidak membezakan warna kulit, darjat atau keturunan. Firman Allah Taala yg bermaksud:

      "Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan kepada sekalian umat
        manusia, untuk memberi khabar gembira (dengan syurga) dan untuk memberi
        peringatan (dengan neraka), tetapi kebanyakkan manusia tidak
        mengetahui." (Surah As- Sabak, ayat 28)

Sifat kesegajatan ini bukan hanya terbatas utk waktu tertentu atau generasi tertentu sahaja tetapi ianya merangkumi semua daerah, lokaliti dan zaman. Lantaran itu agama Islam tidak akan hilang atau roboh dan digantikan oleh suatu agama yg lain. Ia mempunyai pertalian dgn rasul-rasul serta agama-agama samawi sebelumnya.

f.     Ajaran Islam adalah mudah:     Ajarannya sesuai dgn fitrah manusia dan tiada suatupun yg tidak secocok dgn naluri manusia. Ibadahnya boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Peraturan-peraturannya tidak pernah membebankan atau menyempitkan insan.


KESIMPULAN PERBINCANGAN

Dari perbincangan yg telah dihuraikan berasaskan berbagai sumber rujukan, ia jelas memperlihatkan kpd kita bahawa pengertian Islam membawa suatu konsep yg begitu luas yg memerlukan setiap Muslimin berusaha utk cuba memahaminya serta menghayatinya secara jitu dan tepat. Tanpa kefahaman yg mantap dan jitu, ia akan mendorong kpd kejahilan serta kekeliruan dan menjerumuskan individu ke jurang kesesatan dan kehancuran. Oleh itu adalah menjadi kewajiban serta tanggungjawab setiap individu Muslim utk terus memperdalami serta memperkukuh keilmuan masing-masing terhadap konsep serta sistem hidup Islam. Islam hendaklah dijadikan "way of life" serta "budaya hidup" oleh setiap umatnya dan umat manusia. Barulah kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Wassalam.


Biblografi:

Al Quran dan Terjemahan, Yayasan Penyelenggaraan Penterjemahan/Pentafsiran Al Quran, Cetakan P.T. Intermasa.

Abu A'la Maududi, (1982).  Pengertian Yang Hakiki Bagi Kalimah Muslim. Virtue Publications.

Drs Nasruddin Razak, (1982). Dienul Islam.  Penerbitan Al Maarif.

Drs Sidi Gazalba, (1978).  Ilmu Islam I.  Penerbitan Perusahaan Ofset Bumikita.

Dr Abdul Karim Zaidan, (1984).  Dasar-Dasar Ilmu Dakwah I.  Pustaka Al Ameen.

Hj Dusuki Hj Ahmad, (1976).  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Mohd Sulaiman Hj Yasin, (1984).  Penghantar Aqidah. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Muaz, (1986).  Peringatan Untuk Umat Islam. Penerbitan Nadhi..

Muhd Qutb, (1983).  Salah Faham Terhadap Islam.  Dian Sdn Bhd.

Sayid Asabiq, (1974).  Aqidah Islam.  Penerbitan Diponegoro.

Siddiq Fadil, (1977).  Kebangkitan Umat.  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Syed Ahmad Semait, (1982).  Kuliah Subuh I.  Pustaka Nasional Pte Ltd.

Ustaz Hj Ashaari Muhammad, (1988).  Iman dan Persoalannya. Penerangan Al Arqam.






Sunday, April 28, 2013

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (BAHAGIAN 4)

(...sambungan dari Bahagian 3)


IMPLIKASI KEKELIRUAN TERHADAP ISLAM

Dr Yusuf Al Qardawiy (dlm Siddiq Fadil, 1977) telah menggariskan beberapa akibat yg muncul hasil dari kekeliruan terhadap din Islam. Antaranya ialah:

a.    Ketandusan semangat berkorban dan cinta kpd syahid. Sebaliknya tumbuhlah "Al wahn" iaitu penyakit yg tidak dapat disembuhkan dgn kekuatan senjata, latihan, pendidikan, kepimpinan dan taktik serta strategi.

b.    Segregasi atau pemencilan (keterpisahan) dari saudara-saudara Islam lain lantaran jurang nasionalisme, ideologi dan sekularisme.

c.    Perpecahan sesama-sendiri dikalangan umat Islam diikuti oleh krisis, konflik, permusuhan, konfrontasi dan peperangan. Contohnya dapat dilihat pada masyarakat Arab di Timur Tengah hari ini yg tidak pernah bersatu sebaliknya berkonflik.

d.    Kewujudan jurang luas diantara pemerintah dengan rakyat dimana sang pemerintah teguh berpegang dengan ideologi sekularisme ciptaan barat sedangkan majoriti rakyat masih berpegang teguh dgn konsep Islam yg hakiki. Pemerintah telah melempar dan meminggirkan hukum Tuhan serta mengukuhkan kedudukannya dgn menindas rakyat. Sebagai contoh, ketika umat Arab dikerah menentang Yahudi mereka merasa serbasalah (Ibid.,) dan takut kpd kedua-dua situasi: kekalahan atau kemenangan. Seorang wakil Universiti Al Azhar dalam muktamar ulamak (Rejab 1338 Hijrah) ketika mengulas tragedi Perang Ramadhan 1967 berkata:

    "Sekiranya kita menang dlm keadaan kita bergelumang dlm kecelaan dan penyelewengan,   
      nescara kita akan menjadi semakin berani mencabul larangan Allah." (Ibid.,)

e.    Perpecahan dalam struktur persaudaraan Islam.

f.     Berleluasanya kehidupan berpoya-poya dlm kemaksiatan serta kemungkaran.

g.   Akibat terakhir ialah melupai Allah Taala ketika di medan peperangan, merasa tidak perlukan pertolongan Allah dan memadailah dgn rangsangan dari para seniman dan seniwati (Ibid.,). Mereka melangkah ke medan tempur dgn angkuh, sombong, taksub dan dalam keadaan bergelumangan dosa.


Selain dari itu, terdapat berbagai-bagai lagi implikasi yg lahir berpunca dari kekeliruan terhadap Islam sebagaimana berikut (Muhamad Muas, 1986):

a.     Solat diabaikan, diringan-ringankan dan lebih-kurang 80% orang Islam sudah tidak mengerjakan solat.

b.   Agama Islam tidak ramai mahu membelanya, iaitu tidak ramai yg mahu mengamal serta menyebarkannya. Orang yg mengamalkan al Din tertindas dan ditekan. Manusia dari barat mempengaruhi golongan yg lemah iman serta aqidah mereka agar mengamalkan sistem dan konsep hidup barat, berpakaian serta berkebudayaan cara barat.

c.    Al Quran dicetak indah-indah tetapi dijadikan hiasan, slogan, hadiah, jarang dibaca apatah lagi diamalkan ajarannya. Ada yg dijadikan azimat, pedinding menghalau hantu dan sebagainya. Masjid-masjid tersergam dan dihiasi indah tetapi kebanyakannya kosong dan berkunci.

d.     Perkara-perkara benar menjadi samar; sukar dibezakan hal yg haram dan yg halal, yg bathil dan yg sah. Perkara-perkara haram dianggap halal. Dosa-dosa besar dianggap ringan. Meminum arak dan berzina menjadi kegemaran dan riba' berleluasa dimana orang alim juga turut terlibat sama.

e.     Mereka yg jahil tentang Islam terpilih menjadi sang pemimpin. Malangnya mereka banyak memberi fatwa yg menyesatkan serta rakyat pimpinannya.

f.     Zakat dianggap membebankan dan ramai yg mengelakkan diri dari melunaskan zakat dgn alasan dan pembohongan. Ada yg tidak membayar zakat kerana tidak mengerti konsep zakat. Bagi mereka, zakat itu sunat.

g.    Agama dianggap persoalan peribadi. Tiada siapapun berhak menegur orang lain yg membuat kemungkaran. Konsep saling memberi peringatan dalam soal agama sudah diketepikan.

h.     Kesan dari penjajahan mentaliti oleh penjajah keatas umat Islam telah melahirkan mentaliti yg menganggapkan Islam itu hanya ritual semata-mata.

i.      Sistem pendidikan Islam di institusi-institusi pendidikan adalah tidak menyeluruh dan hanya memberi tumpuan kpd soal solat, puasa, zakat, haji dan fekah sahaja.

j.     Gambaran-gambaran yg negatif terhadap Islam kerap mendapat tempat didalam media cetak mahupun media elektronik.

k.    Wujud garis pemisah di antara orang-orang agama dgn orang-orang politik.

l.    Terpisahnya institusi masjid dengan institusi perlimen. Agama Islam diinstitusikan (dipejabatkan) sehingga agama Islam yg sepatutnya mentadbir dan menjadi sistem pemerintahan negara telah bertukar menjadi agama yg dikongkong oleh undang-undang serta perlembagaan ciptaan manusia.

m.    Meletakkan fungsi ulamak sebagai hanya mengajar perkara-fardhu ain dimasjid-masjid, surau dan kelas-kelas tertentu. Ulamak menjawat jawatan berasaskan sistem makan gaji dgn Kerajaan.

n.     Sunnah Rasulullah s.a.w. diketepikan dan sunnah jahiliah sekular barat diagong-agongkan serta dijadikan budaya atau sistem kehidupan.

o.    Hampir keseluruhan sistem dan konsep kehidupan samaada politik, perekonomian, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya adalah berlandaskan sistem sekular barat.

p.     Wujudnya segolongan umat Islam yg hanya mahu hidup beriktikaf di masjid sahaja dan tidak sanggup utk tampil ke hadapan berjuang di medan jihad.


Gejala-gejala yg telah dibentangkan tadi hanyalah sebahagian dari keruntuhan-keruntuhan yg telah terjadi dan dialami oleh umat Islam hari ini. Yg nyata, sebahagian besar dari gejala-gejala tersebut adalah berpunca dari ketidakfahaman umat Islam terhadap agama yg mereka anuti. Kekeliruan-kekeliruan yg timbul terhadap din Islam sesungguhnya boleh membinasakan aqidah serta iman seseorang dan seterusnya akan menghalukan individu ke jurang kekufuran dan kekafiran.

Ianya juga bisa melumpuhkan kekuatan Islam serta menghumbani umatnya ke lembah kehinaan dan penindasan. Oleh demikian wajarlah Islam itu ditakrif serta ditasawwurkan selengkapnya agar difahami secara tepat dan mendalam. Ini akan dapat mengembalikan semula keluhuran Islam serta umatnya dari terus dijadikan tohmahan dan dicemari oleh musuh-musuh Islam serta golongan Muslim yg kufur terhadap agamanya sendiri.


CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN DIN ISLAM

Sebagai satu-satunya agama yg diiktiraf, diterima dan diakui Allah Taala, Islam dibekalkan dgn segala bentuk keistimewaan yg tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Keistimewaan ini jelas membedakan Islam dari agama-agama lain baik dari segi sumber mahupun segala peraturan yg terhimpun didalamnya. Allah SWT telah membekalkan umat Islam dgn Al Quran yg dijamin terpelihara dari sebarang bentuk perubahan dan pencemaran. Kebenaran dan kesempurnaan din Islam adalah jelas sebagaimana firman Allah Taala yg bermaksud:

     "Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam.."
      (Surah Ali-’Imran: 19)

     "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan
       nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk
       kamu." (Surah Al-Maidah, Ayat 3)

Kesempurnaan ini bermaksud tiada perlu rasul dan agama baru selepas Rasulullah s.a.w. dan Islam. Islam adalah agama penutup dan diturunkan utk menutupi segala kekurangan-kekurangan yg terdapat dalam agama samawi terdahulu disamping ia memperkukuhkan apa yg dibawa oleh agama-agama tersebut agar ianya sesuai dan cocok dgn perkembangan semasa. Sifat universal dan eternal Islam menyebabkan ia tidak berubah dan terhapus. Semua keperluan-keperluan insan telah terangkum didalamnya lantaran Allah Taala sendiri yg mencipta dan mengatur syariat Islam, khusus utk makhlukNya yg dipanggil "manusia".


(....bersambung di Bahagian 5)

Thursday, April 18, 2013

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (BAHAGIAN 3)

(...Sambungan dari Bahagian 2):

Fahaman atau ideologi Determinisme ialah aliran falsafah metafizik yg beranggapan bahawa tiap-tiap kejadian yg berlaku sudahpun ditentukan sejak azali. Manusia dilihat sebagai tidak ubah seperti robot yg telah ditentukan nasibnya oleh Tuhan sejak sebelum kelahirannya dimana mereka langsung tidak ada keupayaan utk mengubah walau sedikit pun untung nasibnya. Jika Tuhan telah tentukan mereka akan celaka, maka celakalah kesudahan hidup mereka. Golongan ini bermentaliti demikian kerana terkeliru dgn ayat-ayat berikut (terjemahannya):

   "Dan sesungguhnya Tuhanlah yg menciptakan kamu dan apa yg kamu perbuat ini." (Surah As
     Saaffaat, ayat 96)

   "Dan kamu tidak mengkhendaki, melainkan kalau Tuhan mengkhendaki, Pemimpin semester
     alam." (Surah At Takwiir, ayat 29)

Lawan kpd fahaman Determinisme ialah Interdeterminisme yg berpendirian bahawa untung-nasib individu adalah ditentukan oleh individu itu sendiri. Ideologi ini menggunapakai falsafah 'Deisme' yg beranggapan bahawa setelah Tuhan mencipta manusia, Ia membiarkan umat manusia bebas utk mengatur kehidupan masing-masing. Manusialah yg menentukan untung-nasib masing-masing, bukan Tuhan (Sidi Gazalba, 1978).

Satu lagi bentuk kekeliruan ialah semangat dan ideologi ashabiyah. Makna ashabiyah (asabiyyat) ialah seseorang yg menpunyai perasaan yg mendalam terhadap puaknya dan menganggap adalah menjadi kewajipannya serta tanggungjawab beliau utk membela golongannya samaada pihaknya itu "benar" atau "salah" (T Wahidin Soekarno, 1985). Ashabiyah adalah semakna dgn "chauvinisme" yg bermaksud perkauman atau kepuakan. Umat Islam hari ini telahpun dihinggapi penyakit ini dimana perjuangan mereka bukan lagi berasaskan konsep "Jihad" tetapi lebih berasaskan kepentingan-kepentingan berikut:

a.   Keturunan atau etnik.
b.   Bahasa.
c.   Ideologi.
d.   Batas-batas geografikal atau geopolitikal.
e.   Kelicikan dan kepentingan politik.
f.   Kepentingan sosioekonomi.

Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan umatnya melalui sabdanya:

   "Barangsiapa terbunuh dibawah bendera kesombongan dan menyeru kpd asabiyyat atau
     mempertahankan asabiyyat, maka matinya adalah (dianggap) mati jahiliah." (Hadis
     riwayat Muslim)

Amalan bidaah juga melambangkan kekeliruan serta kejahilan terhadap din Islam. Bidaah bermaksud menambah atau mengurangkan perkara pokok yg telah disyariatkan oleh Islam. Perbuatan bidaah dalam ibadah adalah bathil dan tertolak. Sebagai contoh, bersolat tanpa wudhu; menunaikan haji dgn wang haram; berpuasa dgn berjimak disiang hari dan sebagainya. Malahan ada pendapat yg menegaskan bahawa bertahlil dan membaca talkin keatas mayat adalah haram berasaskan maksud hadis yg telah diriwayatkan oleh Imam Muslim:

   "Barangsiapa yg mengada-adakan sesuatu dalam agama kita yg bukan darinya
     adalah tertolak."

   "Setiap bidaah (perkara yg diada-adakan itu) menyesatkan, dan setiap yg menyesatkan
     itu balasannya ialah api neraka." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, kekeliruan-kekeliruan lain yg timbul terhadap din Islam bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut:

a.   Berpegang tegus dgn identiti serta nafsu sendiri dan mengenepikan al Din.
b.   Taksub membuta-tuli terhadap aqidah-aqidah dalam agama lain. (Mohd Sulaiman Yasin, 1984)
c.   Mengamalkan riba' lantaran terpengaruh dgn sistem ekonomi kapitalisme tanpa merasa berdosa.
d.   Mematuhi peraturan ciptaan manusia melebihi peraturan Allah Taala.
e.   Memuja adat-istihadat.
f.    Kecenderungan meniru gaya hidup kaum freethinker, ateis dan golongan kafir.
g.   Meraikan (menyambut) dam membesarkan hari agama-agama lain. (Ashaari Muhammad, 1988)
h.   Menghalalkan yg haram seperti menghalalkan riba'; memberi lesen utk kegiatan judi dan kelab malam;
      memberi lesen penjualan arak.
i.    Mengharam atau cuba menegah perkara halal seperti berpoligami dan lain-lain.
j.    Mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik seperti memakai susuk, pelaris, mengamalkan syihir dan
      lain-lain.


PUNCA-PUNCA KEKELIRUAN TERHADAP ISLAM

Drs T Wahidin Soekarno (1985) menegaskan bahawa antara punca yg membawa kpd kekeliruan terhadap din Islam ialah:

a.    Fahaman atau pemikiran agama yg dibawa dan ditanam oleh penjajah. Mereka menjadikan pemuda-pemudi Islam sebagai sasaran utk mereka masukkan unsur-unsur budaya sesat mereka. Pemuda-pemudi Islam pula begitu ghairah sekali mengadaptasi budaya-budaya barat dan timur tanpa memikirkan impak sampingannya. Hasilnya, timbullah masaalah penyalahgunaan dadah, budaya "black metal" dan sebagainya.

b.    Tidak memahami ajaran Islam yg sebenarnya, iaitu tidak mempelajari Islam secara syumul atau Islam sebagai "way of life". Umat Islam yg tertentu masih lagi berpendirian bahawa Islam itu hanyalah masaalah ibadah khusus sahaja seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya. Pandangan ini adalah sempit dan mereka mengamalkan ajaran Islam hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti di upacara-upacara berkhatan, beraqad-nikah, kelahiran dan kematian. Itupun bukanlah sepenuhnya.

c.   Tidak memahami sumber-sumber din Islam yg sebenar, iaitu Al Quran, Hadith serta Ijmak dan Qiyas (T Wahidin Soekarno, 1985). Mereka tidak mengambil sumber-sumber tersebut sebagai asas rujukan dalam memahami dan menghayati Islam.


Selain dari punca-punca yg telah dijelaskan ini, terdapat beberapa punca umum lain iaitu:

a.   Godaan syaitan (Ibid,.):  Syaitan adalah musuh manusia yg nyata yg sentiasa berusaha utk menyesatkan manusia dari cahaya Allah Taala. Syaitan itu terdiri dari jin dan manusia. Maka insan yg lemah imannya akan mudah terjerumus ke lembah kekufuran. Allah Taala berfirman bermaksud:

     "Iblis menjawab: Oleh kerana Engkau telah menghukum aku sesat, maka aku akan
      menghalang-halangi mereka dari jalan yg lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka
      dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka." (Surah Al A'raf,   
      ayat 16-17)

b.   Pengaruh nafsu (Ibid.,):   Nafsu kerap dikaitkan dgn sifat-sifat buruk manusia. Nafsu ialah kuda tunggangan syaitan dan iblis. Nafsu yg tidak dikawal akan mudah tersungkur ke jurang kesesatan. Nafsu buruk boleh dibahagikan kpd empat kategori iaitu:
  • Nafsu Rububiah (menyombong diri).
  • Syaitaniah  (anti-kebenaran).
  • Bahamiah  (tidak tahu malu).
  • Sabuiyah  (sikap diktator, despotik dan kejam).
c.    Faktor sosiobudaya (Ibid.,):   Ini adalah berkaitan dengan keadaan butahuruf serta kejahilan yg membawa kpd kelemahan dlm memahami agama dan terlalu taksub atau fanatik dgn adat-adat tradisi. Mereka juga malu utk mempraktikkan prinsip Islam yg sebenar kerana takut dikatakan melanggar adat, kolot atau dipulaukan oleh masyarakat. Contohnya, mereka megah dgn slogan: "Biar mati anak, jangan mati adat!"

d.    Faktor politik (Ibid.,):   Kerap berlaku dimana orang menyertai politik utk memburu kuasa dan kekayaan material. Ini telah melahirkan sifat serta watak pengampu demi mencapai kepentingan peribadi. Apabila berhasil mengumpul kekayaan, mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap masyarakat, agama dan negara. Mereka juga menyelahgunakan kuasa agar wang awam dapat diselewengkan.

e.    Sikap haloba, ingin mewah serta cepat kaya dalam waktu yg singkat. Ini membawa kpd berlakunya kegiatan-kegiatan korupsi, penyelewengan, penipuan, perniagaan haram, penindasan dan sebagainya.

f.    Pertembungan ideologi (al-ghazwu 'l-fikriy) (Siddiq Fadil, 1977):   Din Islam kini sedang berhadapan dgn musuh baru yg diistilahkan sebagai ideologi. Dalam keadaan ini, Islam banyak menerima pelbagai bentuk kritikan, tohmahan serta kecaman sehingga mengakibatkan wujudnya berbagai kekeliruan serta salah-faham terhadapnya. Musuh-musuh Islam menggunakan segala bentuk konspirasi dan strategi utk merosakkan mentaliti umat Islam dan memberi gambaran serta tafsiran yg salah mengenai Islam. Sarjana-sarjana barat yg dikenali sebagai "orientalis" telah menghasilkan karya-karya yg penuh prejudis (prasangka) serta gambaran yg jelek terhadap Islam (Ibid.,). Antara tokoh-tokoh ini ialah Philip K Hitti, Kenneth Cragg dan Wilfred Cantwell Smith.


(....bersambung di Bahagian 4)








Wednesday, April 17, 2013

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (Bahagian 2)

ISLAM  SEBAGAI  AL DIN

ISLAM adalah suatu "nizam". "Nizam" bermaksud sistem, cara hidup atau 'way of life' (Nasrudin Razak, 1982). Sistem-sistem yang terkandung dalam 'Sistem Islam' yang lebih luas merangkumi:
  • Sistem Iman (Kepercayaan).
  • Sistem Ibadah (Penyembahan).
  • Sistem Akhlak.
Sebagai suatu cara hidup (way of life), Islam meliputi keseluruhan aspek dan dimensi kehidupan insan. Menurut Nasrudin Razak, ia merangkumi:
  • Cara hidup dalam keluarga.
  • Cara hidup bertetangga.
  • Cara hidup sosial.
  • Cara hidup dalam politik.
  • Cara hidup dalam ekonomi.
  • Cara hidup dalam lain-lain bidang selanjutnya.
Dalam konteks ini, sistem-sistem Islam dan cara-cara hidup secara Islam adalah berbeza dari lain-lain sistem atau cara hidup yang ada di dunia ini. Ia berbeza dengan konsep kapitalisme, sosialisme, amat berlawanan dengan konsep komunisme (Ibid.,) dan tidak selari dengan dengan "isme", ideologi atau konsep hidup yang lain-lainnya. Dalam kamus al-Muhit (Mohd Sulaiman Hj Yasin, 1984) ada diperincikan bahawa agama (al Din) mempunyai berbagai erti yang kadang-kalanya saling berkontradiksi. Contohnya, al Din atau agama bermaksud:
  • Kerajaan.
  • Khidmat.
  • Sultan.
  • Paksaan.
  • Ihsan.
  • Pemerintahan.
  • Pentadbiran.
  • Ketinggian.
  • Ibadat.
  • Adat.
  • Pembalasan.
  • Kehinaan.
  • Maksiat.
  • Islam.
  • Taugid dan lain-lain lagi.
Disebalik pengertian yang terkadang berkontradiksi dan seakan mengelirukan ini, ia masih mengandungi titik persamaan atau pertalian m,akna yang saling berkaitan didalam tiga aspek penting iaitu (Ibid.,):
  • Ilzam al-Inqiyad (Memastikan tunduk dan patuh).
  • Iltizam al-Inqiyad (Kepastian untuk tunduk dan patuh).
  • Al-Mabda' (Prinsip yang pasti tunduk patuh kepada apa yang sewajibnya diberikan kepatuhan dan tunduk).
Para pengkaji dan orientalis barat telah mengemukakan definasi masing-masing mengenai agama yang rata-rata mengelirukan dan kontroversial. Ada yang membataskan pengertian agama kepada agama samawi. Ada pula yang membataskan pengertian agama kepada bentuk yang hanya difahami oleh otak-otak ahli fikir atau membuang langsung unsur ketuhanan (Ibid.,).  Setiap definasi yang cuba dikemukakan oleh pemikir barat didapati kurang tepat lantaran gagal memberikan pentakrifan yang sempurna dan konkrit. Fakta yang mungkin boleh diterima ialah bahawa gejala agama merupakan gejala yang komplikated dan mengandungi berbagai aspek dan sudutnya (Ibid.,). Walhal istilah agama atau al Din merangkumi empat ciri popkok sebagaimana dinyatakan dalam al Quran:
  • Kehakiman, kesultanan dan kekuasaan yang Mutlak dan Tertinggi.
  • Kepatuhan dan ketaatan kpd kekuasaan mutlak tersebut.
  • Sistem atau peraturan-peraturan samaada yg berbentuk "nazari" atau amali yg digubal oleh kekuasaan, kehakiman dan kesultanan tersebut.
  • Pembalasan nikmat yg diberikan oleh kekuasaan yg tertinggi keatas setiap yg taat dan patuh kpd sistem tersebut atau sebaliknya pembalasan azab keatas setiap yg ingkar dan derhaka (Ibid.,)

Bagaimanakah caranya utk merealisasi sistem Islam dan cara hidup Islam? Kita telah meyakini bahawa Islam ialah sebaik-baik atau selengkap-lengkap sistem hidup di dunia lantaran ia didatangkan oleh Allah Taala. Kedudukan serta pencapaian kita dari segi sejarah, geopolitik serta aspek antarabangsa telah meyakinkan kita serta membuktikan bahawa Islam adalah satu-satunya pendekatan utk umat Islam mengapai semula dominasi, kekuasaan, kehormatan serta keadilan sosial di dunia (Muhammad Qutb, 1983).

Jalan utk merealisasi pemerintahan Islam dalam sebuah dunia yg anti-Islam serta dunia Islam yg diperintah oleh pemerintah-pemerintah kufur samalah seperti menentang musuh-musuh Islam. Hanya ada satu jalan sahaja utk mewujudkan sistem Islam: iaitu BERIMAN (iaini mematuhi segala peraturan Allah Taala secara keseluruhannya). Jika di permulaan Islam iman telah menjadi tenaga penggerak dan pembangunnya, maka IMAN jugalah yg harus menjadi TENAGA PEMBANGUN ISLAM (Ibid,.) di zaman ini serta di zaman akan datang.

Umat Islam hari ini sedang menghadapi senario yg sama seperti yg pernah dihadapi oleh generasi pertama umat Muslim yg lahir di permulaan Islam dahulu. Jika generasi pertama Muslim menghadapi ancaman dua empayar tergagah zaman tersebut (iaitu Rom dan Farsi), hari ini umat Muslimin sedang diancam oleh dua blok ganas iaitu blok kapitalis dan blok sosialis (komunis). Kedua-dua blok ini memang ANTI ISLAM dan sentiasa bekerjasama bertungkus-lumus membangkitkan huru-hara dikalangan negara-negara Islam (Ibid,.). Mereka melakukan ini semata-mata dgn motif utk memusnahkan wujudnyasistem dan kuasa Islam serta cara hidup Islam di mukabumi ini. Fakta ini harus difahami kerana sejarah telah membuktikan bahawa golongan kafirin (samaada kristian, yahudi, wasani, ateis, freethinker, anti-Tuhan dan lain-lain) sentiasa menaruh dendam terhadap Islam serta keagungan yg pernah dicapai oleh dunia Islam.

Oleh demikian jalan utk merealisasi sistem Islam atau al Din bukanlah sebuah jalan yg indah, mudah atau dihampari permaidai merah serta ditaburi bebunga wangi. Sebaliknya ia menagih pengorbanan yg besar sebagaimana yg pernah dilakukan oleh pelopor-pelopor Islam di zaman lampau demi meyakinkan dunia terhadap pengertian serta kebaikan-kebaikan Islam. Kejayaan Islam telah dijamin oleh Allah s.w.t sebagaimana maksud firmanNya:

     "Keluarlah kamu ke medan peperangan dgn berjalan kaki atau berkenderaan dan
      berperanglah kamu   dgn hartamu dan dirimu pada jalan Allah. Demikianlah yg lebih baik
      bagimu jika kamu mengetahui." (Surah At Taubah, ayat 41)


KEKELIRUAN-KEKELIRUAN TERHADAP DIN ISLAM

Memahami Islam secara holistik adalah penting walaupun tidak secara detil. Ini ialah utk menghindarkan kesalah-fahaman atau kekeliruan serta mentaliti yg negatif terhadap din Islam. Kejahilan terhadap hakikat Islam khususnya dikalangan umat Muslim hari ini telah mendorong kpd wujudnya pelbagai bentuk kekeliruan terhadap Islam. Antara kekeliruan-kekeliruan tersebut ialah tanggapan bahawa Islam menjadi batu penghalang dan perosak modenisasi (Maududi, 1982). Allah Taala telah berfirman dgn maksud:

   "Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka sedang sesungguhnya prasangka itu tidak 
     berguna sedikitpun utk mencapai kebenaran." (Surah An Najm, ayat 28).

   "Mereka tidalk lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yg diingini oleh hawa
     nafsu mereka. Padahal sesungguhnya telah datang petunjuk kpd mereka dari Tuhan mereka.
    Atau apakah manusia akan dapat segala yg dicita-citakan?" (Surah An Najm, ayat 23-24)

Satu lagi kekeliruan ialah bertaklid, iaitu gemar mengekori dan melanjutkan amal-perbuatan serta mentaliti nenek-moyang yg jelas bercanggah dgn peraturan Allah Taala. Taklid ialah suatu penghalang dan pengekang utama kemerdekaan akal serta kebebasan berfikir (Sayid Sabiq, 1974). Apa yg mereka ikuti dan turuti ialah mazhab atau fahaman yg lahir dari akal-fikiran orang lain sementara fikiran mereka sendiri begitu beku dibelenggu oleh pemikiran yg kuno dan sesat. Allah SWT benar-benar mencela golongan yg suka bertaklid dan sebaliknya memuji golongan yg menjernih serta mencerahkan mentalitinya dgn berlandaskan din Islam yg sebenar. FirmanNya yg bermaksud:

   "Dan apabila dikatakan kpd mereka: "Ikutilah apa yg diturunkan Allah!", mereka lalu
     berkata: "Tidak, kita hanya mengikuti apa yg telah kita dapati dari amalan nenek-moyang
    kami!" Apakah mereka akan mengikuti juga walaupun nenek-moyang mereka itu tidak
    mengetahui sesuatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?" (Surah Al Baqarah, ayat 170).
Sesungguhnya golongan yg tidak menggunakan akal fikirannya serta tidak tahu membezakan yg benar dgn yg bathil malah mengikut sahaja amal perbuatan orang lain secara membuta tuli telah diumpamakan oleh Al Quran sebagai seperti binatang bahkan lebih jelik dari itu. Ini kerana haiwan memang tidak memiliki akal walhal insan mempunyai aqal tetapi enggan mempergunakannya. Allah Taala berfirman bermaksud:

   "Mereka itu ialah ibarat binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah 
     orang-orang yg lalai." (Surah Al Araaf, ayat 179)

   "Mereka tuli, bisu dan buta. Mereka tidaklah akan kembali ke jalan yg benar." (Surah Al
     Baqarah, ayat 18)

Kekeliruan juga timbul dlm persoalan qadha dan qadar yg telah menimbulkan perpecahan dikalangan umat Islam yg membawa kpd wujudnya tiga golongan yg saling bertentangan dan berkonflik. Masing-masing dgn faham yg tersendiri:

a.   Fahaman Determinisme  -  dianuti oleh golongan Jabariah.
b.   Fahaman Indeterminisme  -  dianuti oleh golongan Mu'tazilah.
c.  Fahaman Dualisme (pertengahan)  -  dianuti oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah (umat Islam terbesar).

(..akan bersambung di Bahagian 3)

Tuesday, March 26, 2013

MASJID: GELANGGANG POLITIK ATAU PUSAT IBADAH?

ADAKAH SUATU DOSA utk membincangkan isu politik, kewilayahan dan kenegaraan didalam masjid? Adakah suatu maksiat utk membicarakan isu sosioekonomi atau yg membabitkan kemaslahatan masyarakat didalam masjid? Adakah menjadi suatu kesalahan utk menghujahkan tentang pemerintah, pemerintahan dan dasar-dasar negara didalam masjid? Dan, adakah menjadi biadab utk membahaskan tentang isu air, kebersihan tandas, pelajaran atau kesihatan awam didalam masjid?

BAGAIMANA KALAU masjid dijadikan MARKAZ (markas?) politik? Adakah ini lebih BESAR dosa dan maksiatnya? Wallahualam. Tetapi jika kita menyingkap kembali sejarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, "markas politik" mereka tiada lain dari tempat yg amat bersih dan mulia, iaitu masjid. Masjid (atau tempat sujud - iaini "sujud" kepada Allah Taala). Mengapa di masjid? Kenapa tidak di warong-warong kopi, pasar harian atau lorong-lorong sempit? Mengapa suatu isu yg menyentuh aspek ketatanegaraan, strategi, pertahanan dan peperangan dibincang dan dirancang di masjid? Mengapa tidak dibincangkan dalam gedung-gedung besar, bangunan-bangunan anggun atau pencakar-pencakar langit....?

Kenapa agaknya....? Mungkinkah lantaran ketika itu kerajaan Rasulullah s.a.w. ketiadaan dana atau tajaan utk membina "Putrajaya" di Madinah? Atau, terlalu banyak dana diperlukan bagi ekspedisi-ekspedisi ketenteraan dalam proses penyebaran syiar Allah Taala diatas mukabumi ini? Berbanding hari ini, mungkin dana sudah tidak diperlukan lagi utk menyebarkan aqidah Islamiah. Tidak juga diperlukan utk ekspedisi-ekspedisi militer bagi membenterasi musuh-musuh Islam; atau mewujudkan rasa gerun dalam hati para kafirun dan musuh Allah Taala; atau membantu saudara-saudara Islam yg tertindas. Yg diperlukan pada hari ini ialah dana utk membina sebanyak mungkin gedung-gedung mewah, kompleks-kompleks mega, pencakar-pencakar yg mampu mencecah dan mengoyakkan awan-gemawan, istana-istana hinggap di puncak alam, taman-taman khayalan yg penuh fantasi, dunia fatamorgana yg bisa digenggam....... !

Namun, adalah menghairankan jika "markas politik" masih berlegar-legar disekitar masjid. Tetapi, adakah ia suatu "isu" yg benar-benar perlu dihairankan...? Sebuah suratkabar tempatan bertarikh 22 Mac 2013 telah memaparkan isu ini dgn agak panjang dan lebar dengan tajuk: "BILA MASJID JADI 'GELANGGANG POLITIK' ". Antara lain ia "mengkhabarkan" tentang perihal "lanskap" masjid yg bertukar wajah gara-gara pertukaran "pemerintah" di wilayah berkenaan. Masjid itu hari ini digambarkan sebagai platform ceramah politik partisan. Digambarkan juga solat tarawikh disingkatkan kpd lapan rakaat utk memberi ruang kpd "tazkirah politik" dan "menghentam" parti atau pihak pemerintah. Dikatakan bahawa program masjid banyak terarah kpd parti atau kepentingan parti-parti tertentu.

Menurut akbar itu lagi, terdapat banyak masjid di wilayah berkenaan yg masih merestui "ceramah-ceramah politik" dijalankan walaupun telah diteguri oleh yg empunya otoriti atau "kuasa" utk menegur atau mencegahi. Ia juga telah melanggar arahan yg telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam wilayah berkenaan. Namun "perdebatan" masih berterusan hingga belum ada titik pertemuan dikalangan mereka. Dan, yg "berpolitik" pasti akan terus menyebarluaskan "budaya politik" mereka di masjid-masjid selagi ada ruang.....

Tetapi polemik masjid tidak dapat lari dari isu "politik dalaman" (...dikalangan "inner-circle" jawatankuasa masjid itu sendiri) selain dari pengaruh luaran. Terkadang isu ini menjadi terlalu panas dan diluar kawalan. Ini kerana "pengaruh" golongan "inner-circle" adalah berteraskan kepimpinan tradisi yg telah diwarisi sekian lama. Maka, "politik masjid" itu sendiri adalah cukup hebat gelombangnya. Ia tidak semudah cakap-cakap pintas di warung kopi. "Budaya" politik masjid di negara ini adalah suatu "budaya" yg cukup konservatif, berhirarki dan sukar berubah. "Kepimpinan politik masjid" adalah cukup kuat dan terkesan hingga ke akar-umbi masyarakat setempat. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika masjid dengan begitu mudah menjadi "markas politik" oleh pihak-pihak yg empunya pengaruh....

Soalnya, salahkah masjid menjadi tempat perbincangan atau polemik politik? Drs Sidi Ghazalba yg pernah mengemukakan tesisnya yg berjodol: "Masjid Sebagai Pusat Peradaban dan Kebudayaan Islam" sebelum menjadi pensyarah di UKM pada penghujung tahun 1970an telah menegaskan betapa masjid perlu dimartabatkan sebagai pusat "peradaban" bagi umat Islam. Soalnya, apa itu PERADABAN...? Peradaban ialah ketamadunan. Apa itu KETAMADUNAN...? Ia bermaksud kemajuan sosioekonomi dan politik, kemajuan infra, kemajuan fizikal dan, yg paling utama, kemajuan aspek moral dan spiritual insan. Dalam ertikata lain, fungsi masjid bukan hanya terbatas pada aktiviti solat, tazkirah, kelas fardu ain, upacara pernikahan atau pengurusan jenazah semata-mata. Ia perlu diperluaskan kearah merangkumi aktiviti-aktiviti pembinaan ukhuwah umat, tadbirurus masyarakat dan ketatanegaraan. Ini kerana kenegaraan tidak pernah terpisah dari kewajipan Islam. Islam meletakkan prioriti yg amat tinggi kpd "daulah" atau aspek kenegaraan. Oleh itu, jika kita memisahkan kenegaraan dengan agama, bererti kita "sekular"....

Oleh itu meletakkan masjid hanya sebagai rumah ibadah, menyampaikan ceramah agama, kelas fardu ain, bertazkirah, beriktikaf, tilawatul Quran atau tempat utk mendapat keberkatan bernikah adalah suatu "ideologi" yg tidak begitu selaras dgn roh Islam yg sebenar. Ia wajar diperluaskan termasuk menjadi pusat perbincangan mengenai hal-hal kenegaraan dan pentadbiran sosial. Isu-isu seperti penjenayahan, maksiat, kerosakan aqidah, murtad serta perancangan strategik utk membanteras permasalahannya harus juga dibincangkan didalam masjid. Bukan semua perkara harus dilihat sebagai "omongan kosong" atau "keduniawian".... Ini perlu difahami dengan betul.

Jadi, bagaimana dgn amalan berpolitik di masjid-masjid? Adakah ia wajar diterima sebagai salah-satu dari cabang dalam aktiviti peradaban Islam? Salah seorang sultan di negara ini memberi katadua melarang "aktiviti politicking" di masjid lantaran dibimbangi ia akan mendorong kpd perpecahan ummah dan masyarakat Melayu dengan lebih parah lagi... Ada "rasional"-nya sanggahan ini. Perpecahan dikalangan orang Islam terutamanya umat Melayu semakin hari semakin membimbangkan. Kenyataan-kenyataan politik serta propaganda-propaganda yg disajikan kpd masyarakat awam saban hari semakin sarat dengan api kebencian serta dendam kesumat yg tiada berbatasan. Ini pada hakikatnya merupakan suatu bentuk "budaya" yg "celaka", "bangsat" dan penuh "kebiadaban". Sudahlah nasibnya umat Melayu terus "buta-huruf" dalam politik, mereka juga turut terperangkap dalam belenggu politik tradisi yg separuh-masak, semakin longlai dan basi....

Politik pada hakikatnya tidak terpisah dari Islam. Hanya golongan sekular sahaja yg berani memisahkan politik dari agama. Walhal Rasulullah s.a.w. sendiri adalah seorang politikus yg tersohor. Baginda tidak pernah memisahkan politik, pemerintahan, dasar-dasar awam serta dasar-dasar sosial dari agama. Baginda juga tidak pernah memisahkan strategi militerisme dari Islam. Semuanya diintergrasi secara seimbang dan teratur. Dan, adakah masyarakat hari ini mampu meniru atau menerimapakai metodologi Rasulullah s.a.w. dalam memerintah negara? Jawabnya: "TIDAK". Mengapa "TIDAK"...? Lantaran mereka MEMANG tidak layak. Ilmu mereka terlalu dangkal. Iman mereka terlalu goyah. Dan, jiwa mereka bersalut dengan materialisme serta "kesan sampingan" ideologi "freethinker...." ! "Masaalah" ini adalah terlalu berat...!

Jadi, bagaimana kesudahannya? Mahu jadikan masjid sebagai "markas politik partisan" atau jadi rumah ibadah yg terpencil serta dipencilkan.....? Ia terserah kpd ummah atau masyarakat yg wujud serta berlegar disekeliling masjid (...masjid-masjid) berkenaan. Jika umat itu melihat masjid sebagai "pasar malam", maka ia akan hanya didatangi pada waktu malam sahaja. Jika umat itu mahu menjadikan masjid sebagai sebuah markas propaganda atau biro penyebaran manifesto politik sempit, maka jadilah ia sepertinya sebuah sarang para broker politik yg sempit akal. Jika umat itu ingin menjadikan masjid sebagai sebuah pusat karnival beli-belah, tapak pesta perayaan itu dan ini atau tempat tontonan para pelancong asing, maka jadilah ia seperti itu......

MAKA, pilihan adalah ditangan anda... Anda sebagai anggota masyarakat setempat, pemastautin atau ahli khariah memikul tanggungjawab yg amat besar dlm menentukan "halatuju" masjid di lokasi masing-masing. Anda akan bertanggungjawab sepenuhnya dgn apa yg bakal terjadi pada masjid tersebut. Jangan salahkan oranglain kalau "masjid" anda "dijajahi" oleh anasir yg anda benci.....

Hari ini, jika kita tidak berhati-hati, masjid-masjid kita akan "mati" atau menjadi "rumah persinggahan" para pelancong asing... Tragedi pedih yg melanda Al-hambra di Andalusia hendaklah dijadikan iktibar oleh sesiapa sahaja yg mengaku dirinya Muslim.... Ws..


Masjid Cordoba di Alhambra dijadikan gereja oleh pemerintah Sepanyol sejak abad ke 15.


NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...