PENGERTIAN
DEMOKRASI
Demokrasi
berasal dari perkataan Yunani iaitu Demos
(bermaksud rakyat) dan kratein
(bermaksud memerintah). Oleh itu demokrasi
bermakna rakyat memerintah. Kamus
Oxford mentakrifkan demokrasi sebagai sebuah negara yang diperintah oleh rakyat
atau wakil yang dilantik[i].
Disamping itu, unsur-unsur utama dalam sebuah demokrasi ialah kebebasan
berpolitik, hak menubuhkan persatuan, hak bersuara, hak beragama dan
berpolitik, hak golongan majoriti dalam proses membuat keputusan dan hak
golongan minoriti menentukan kehidupan mereka[ii].
Abe
Lincoln (1931) pula mendefinisikan demokrasi sebagai "a people's government, a government by the people, for the
people." Profesor Carl Cohen
dari University of Michigan melalui bukunya Democracy
(1971) mentafsir demokrasi sebagai satu bentuk kerajaan komuniti yang mana
warganya boleh terlibat secara sama rata dan saksama dalam menentukan
keputusan-keputusan yang mempunyai implikasi langsung kepada rakyat.
Ringkasnya,
demokrasi ialah suatu bentuk pemerintahan dalam mana setiap warganegaranya
mempunyai hak untuk membentuk kerajaan dan memerintah negara samada secara
langsung atau melalui pemberian mandat kepada wakil-wakil rakyat, rakyat
mempunyai hak untuk membentuk pertubuhan-pertubuhan, hak untuk menyuarakan
pendapat politik mahupun sosio-ekonomi, hak beragama dan hak golongan minoriti
untuk hidup bebas sebagaimana yang dikecapi oleh golongan majoriti.
DIMENSI DAN PERSPEKTIF DEMOKRASI
Walaupun
pada awalnya demokrasi bukan sejenis pemerintahan yang popular dalam sejarah
dunia tetapi akhir-akhir ini pemerintahan berbentuk demokrasi dianggap paling
dominan. Terdapat tiga klasifikasi atau perspektif utama demokrasi yang
wujud ialah Natural Rights Democracy, Democratic Liberalism dan Contemporary Democracy [iii] . Natural
Rights Democracy merupakan asas kepada demokrasi yang menjadi amalan hari
ini. Teori awal ini diambil dari undang-undang alami (law of nature) yang telah diletakkan oleh Tuhan dimana semua
manusia dianggap sebagai warga alam semesta.
Wujud
satu kod semesta yang menegakkan hak dan kebenaran dalam konteks ini. Dalam Kod kebenaran ini, semua insan mempunyai
hak yang sama untuk bebas dan terlibat dalam proses pemerintahan negara.
Sebenarnya idea ini pernah diketengahkan
oleh John Locke (1632-1704) melalui tulisannya, Second Treatise of Government.
Walaubagaimanapun,
idea awal ini berubah kepada apa yang dikenali sebagai Democratic Liberalism pada abad ke-19 apabila sistem demokrasi mula
mendapat tempat dalam komuniti kebanyakan masyarakat Eropah dan Amerika Utara.
Teori ini berpendapat bahawa demokrasi hendaklah berasaskan kepada konsep untuk
mencapai kegembiraan manusia atau kebaikan mutlak untuk jumlah terbesar: the greatest good for the greatest number.
Ini secara tidak langsung bermaksud golongan minoriti akan terpinggir dalam
arus politik negara.
Selain
itu, wujud pendapat yang menyokong idea Natural
Rights Democracy iaitu manusia harus bebas dan sama rata.
Walaubagaimanapun, konsep ini menolak kepentingan ketuhanan dan kuasa alam
semata. Mereka berpendapat bahawa elemen bebas dan sama rata ini sudah cukup
untuk menjadi asas kepada satu masyarakat yang diimpikan oleh semua.
Seperti
teori awal demokrasi, teori Democratic
Liberalism juga mengalami proses evolusi. Di akhir abad ke-19 dan awal
ke-20, ahli demokrat liberal mengakui perlunya keadaan kebebasan positif dan
negatif. Ruang lingkup kebebasan individu itu adalah mutlak dan peribadi.
Walaubagaimanapun, perlu diadakan ruang lingkup yang boleh 'dicerobohi' atau
campur tangan kerajaan demi melindungi orangramai seperti mewujudkan prasarana
asas umpama sekolah, industri, kebajikan sosial dan lain-lain. Namun demikian,
timbul pula persoalan sejauh manakan kerajaan boleh campur tangan dalam
urusan-urusan ini.
Teori
kontemporari memperlihatkan wujudnya dua mazhab di bawah teori Contemporary Democracy iaitu democratic capitalism dan democratic socialist. Democratic capitalism bersandarkan
kepada prinsip-prinsip yang memperakui campur tangan pemerintah dalam aspek
ekonomi tetapi memberi penekanan penting terhadap kebebasan individu dalam
aktiviti ekonomi atau persyarikatan sebagaimana hujah Burke dan Bentham.
Democratic sosialism pula
menitikberatkan perubahan radikal struktur masyarakat dan menekankan perlunya
pengawalan komuniti yang lebih daripada keadaan lazim serta kerjasama dalam
mencapai objektif ekonomi yang sama. Ini merupakan teori Hobhouse dan Dewey.
Kedua-dua teori ini mengekalkan komitmen dalam menyokong idea-idea asas
demokrasi dan prosedur-prosedur di dalamnya.
KONSEP KEBEBASAN BERSUARA
Kebebasan
bersuara bermaksud bebas untuk menyuarakan apa sahaja pendapat, samada melalui
lisan mahupun tulisan. Dalam konteks Malaysia, ia merupakan salah satu hak yang
dijamin oleh Perlembagaan negara seperti yang termaktub dalam Fasal 10,
Perlembagaan Malaysia[iv].
Walaupun begitu, ini bukan bermaksud rakyat boleh bertindak secara anarkis
tanpa mematuhi undang-undang. Orangramai juga perlu menjaga sensitiviti
terutamanya persoalan hak istimewa Melayu, kerakyatan jus soli, ketuanan Melayu
dan isu-isu keagamaan. Isu-isu ini amat sensitif dan mudah mencetuskan konflik
perkauman. Lantaran itu Akta Hasutan[v]
telah digubal bertujuan untuk mencegah orangramai dari mempermain-mainkan
isu-isu racism dan isu-isu yang
dinyatakan tadi.
Dalam
batas-batas yang diterima sebagai satu konvensyen, hak bersuara merupakan
saluran bagi seseorang menyampai dan menerima maklumat bagi pembangunan dan kebaikan
semua pihak. Perkembangan dan kemajuan intelek rakyat di negara-negara yang
menghormati hak bersuara ini jelas dapat dilihat di negara maju sementara
negara yang menghadkan kebebasan bersuara ternyata mundur dari segi
perkembangan minda rakyatnya.
Dalam
konteks Malaysia, kebebasan bersuara telah dinikmati sejak merdeka dalam
tingkat kebebasan yang berbeda-beda bermula dari zaman pemerintahan Perdana
Menteri Tunku Abdul Rahman hingga sekarang. Ringkasnya, hubungan antara
demokrasi dan hak bersuara masih relevan. Walaupun semakin terbatas, hak
bersuara masih terpelihara di bawah Perlembagaan negara dan Parlimen tidak
boleh sesuka hati membatalkan atau meminda sesuatu undang-undang berhubung hak
ini.
KEBEBASAN MENGUNDI
Undi
adalah penentu siapa yang nantinya layak untuk di lantik dan diberi mandat
untuk mewakili rakyat bagi sesuatu kawasan konstituensi. Lantaran itu proses
pengundian perlu dilaksanakan secara adil, bebas, saksama serta tanpa sebarang
desakan fizikal mahupun tekanan emosi dari mana-mana pihak. Oleh itu proses
pengaruh-mempengaruhi dari mana-mana pihak yang berkepentingan tidak sepatutnya
timbul dalam proses ini.
CORAK
DEMOKRASI AMALAN MALAYSIA
Malaysia
mengamalkan konsep Demokrasi Berparlimen
[vi]
di mana Parlimen merupakan badan legislatif yang berkuasa dalam menggubal rang
undang-undang negara. Selain itu Parlimen merupakan tempat utama dimana
proses-proses seperti membuat undang-undang, akta, mengawal dan mengawasi
perbelanjaan am kerajaan ditentukan.
Walaubagaimanapun,
hak-hak rakyat terpelihara di bawah Perlembagaan Negara dan Parlimen tidak
boleh sesuka hati membatalkan sesuatu undang-undang seperti yang dilakukan oleh
Parlimen Britain. Ini adalah kerana
Parlimen Malaysia memperolehi peruntukan kuasa dari Perlembagaan[vii].
Dengan ini, hak-hak dan undang-undang yang termaktub dalam Perlembangan adalah
terjamin.
Walaubagaimanapun,
adakah negara telah benar-benar mengamalkan konsep demokrasi sebagaimana yang
diamalkan oleh negara-negara democratic
capitalism barat? Yang nyata, Malaysia telah mengamalkan konsep-konsep
berikut:
·
Negara mengamalkan corak demokrasi
berparlimen di mana Parlimen merupakan badan yang amat berkuasa di dalam negara
dan mampu melakukan perkara-perkara seperti membuat undang-undang atau akta,
mengawal dan mengawasi perbelanjaan am kerajaan.
·
Demokrasi berparlimen wujud di negara
ini apabila kerajaan yang memerintah dipilih melalui sistem pilihanraya. Dalam
konteks Malaysia, ia dijalankan pada
setiap lima tahun berpandukan ketetapan dalam perlembagaan. Oleh itu Perlembagaan merupakan tonggak kepada sistem pemerintahan
di Malaysia. Struktur Parlimen merangkumi Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara
dan Dewan Rakyat.
·
Maksud Raja Berperlembagaan ialah Ketua
Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja
Melayu secara bergilir-gilir untuk terma lima tahun sahaja. Yang DiPertuan
Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.
·
Demokrasi di Malaysia memberi ruang
kepada rakyat untuk memilih wakil dalam membentuk pemerintah disamping menuntut
hak-hak rakyat dari segi politik, sosial dan ekonomi seperti yang dinyatakan
dalam Perlembagaan.
Ringkasnya,
berdasarkan kepada contoh tadi ialah demokrasi di negara adalah demokrasi
terkawal atau demokrasi terbatas tetapi kawalan itu wujud untuk melindungi
kedudukan dan kepentingan umum yang lebih besar jumlahnya, sama seperti konsep
dalam Democratic Liberalism - the
greatest good for the greatest number.
KEBEBASAN BERSUARA DI MALAYSIA
Dalam
masyarakat yang telah mencapai kematangan demokrasi yang agak tinggi, tulisan
yang kritis lagi mencabar minda sentiasa digalakkan dan menghiasi halaman
akhbar dan majalah atau ruang TV dan radio. Malah, dalam kebanyakan akhbar yang
berwibawa, satu halaman besar dikhaskan untuk para pembaca yang prihatin dan
berminat meluahkan pandangan mereka mengenai satu-satu isu, pro dan kontranya.
Ini selain daripada media itu berbuat laporan yang seadil mungkin.
Melalui
pendekatan demokratik, wacana politik boleh dipertingkatkan supaya warga
masyarakat yang berkenaan dapat mengetengahkan isu-isu yang luas dan lebih
pokok dan membincangkannya secara terperinci. Inilah juga cara untuk mengangkat
martabat politik dan budaya intelek tanah air ke peringkat yang boleh
dibanggakan.
Ini
bukanlah bermakna rintihan rakyat, misalnya, mengenai longkang yang tersumbat,
atau lampu jalan tidak bernyala tidak mempunyai tempat dalam wacana media ini.
Tetapi cara rintihan ini dipersembahkan oleh media arus utama (mainstream) di
negara kita kadangkala membayangkan usaha untuk menjauhkan rakyat dari perkara
yang lebih pokok lagi. Maksudnya, sampah yang terbiar itu, misalnya, mungkin
ada kaitannya dengan dasar baru pemerintah tertentu, tetapi gambaran luas ini
tidak disediakan kepada khalayak ramai untuk pengetahuan dan pemahaman mereka
yang menyeluruh dan mendalam.
Walaupun
diberi hak kebebasan bersuara oleh Perlembagaan, ia bukan bermaksud rakyat
boleh melakukan sesuatu sesuka hati dan bertindak secara tidak rasional.
Sebagai contoh, penyuaraan pendapat adalah dibenarkan dalam negara kita tetapi
jika pendapat yang dikeluarkan adalah berbentuk hasutan dan boleh mengancam
kestabilan negara maka beliau boleh di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA - Internal Security Act)[viii]
dan kebebasan hak bersuara beliau telah menjadi void kerana tindakannya itu.
KESIMPULAN
Untuk
mendapatkan suasana intelek yang positif ini, pembaca dan penulis serta warga
negara lain memerlukan keadaan di mana perasaan takut atau malu tidak boleh
membelenggu mereka. Malah mereka harus berasa yakin dan bangga dengan pandangan
yang diluahkan dalam media arus utama. Walaubagaimanapun, unsur-unsur anarkis
mungkin sukar di terima. Kesimpulannya, bolehlah kita katakan bahawa Malaysia
masih mengamalkan konsep demokrasi dengan mengasaskan kepada konsep demokrasi
berparlimen. Selain itu, orangramai masih bebas bersuara walaupun peluang untuk
menyuarakan sesuatu itu kian terbatas lantaran pelbagai peraturan-peraturan
baru yang dikeluarkan oleh pemerintah dari semasa ke semasa.
[ii] Ibid,.
[iii] K.Ramanathan, Asas Sains
Politik, Penerbitan Fajar Bakti, 1987, ms 337.
[iv] Perlembagaan Malaysia,
Malaysia Law Publisher, 1992, ms 5.
[v] Akta Hasutan, Malaysia
Law Publisher, 1987, ms 24.
[vi] Op cit, ms 26.
[vii] Op cit, ms 27.
[viii] Internal Security Act,
Malaysia Law Publisher, 1994, ms 11.
No comments:
Post a Comment