Tuesday, July 26, 2011

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP DAN BUDAYA (Bahagian 1)

INTRODUKSI

ISLAM adalah agama samawi terakhir diturunkan Allah Taala untuk umat manusia. Ia berfungsi sebagai nikmat serta rahmat untuk seluruh makhluk khususnya bani Adam. Allah Taala telah mewahyukan agama ini dengan kesempurnaan tertinggi meliputi semua aspek fundamental duniawi dan ukhrawi (Drs Nasruddin Razak, 1982) demi menghalukan manusia ke arah kebahagiaan lahir dan batin di dunia mahupun di akhirat. Lantaran itu 'din Islam bersifat universal dan 'eternal'. Ia sesuai dengan fitrah manusia serta bertepatan dengan kecenderungan hati nurani insan.

Sebagai konsekuensi, Islam menjadi agama dakwah yang harus dissampaikan kepada segenap lapisan manusia dengan berlandaskan Al Quran dan sunnah. 'Din Islam perlu diterapkan kedalam kehidupan manusia sebagai juruselamat yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala bermaksud:

"Berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan, bahawasenya mereka itu akan memperoleh syurga yang dibawahnya mengalirlah beberapa sungai." (Surah Al Baqarah, ayat 25)

Proses penyebaran Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafah al Rasyiddin telah membuktikan bahawa kedatangan 'din Islam di zaman tersebut telah benar-benar menyelamatkan bangsa Arab musyrikin dari kejahiliahan yang parah. 'Din Islam telah berjaya membawa umat Arab dari situasi penuh kesesatan dan berpecah-belah ke suatu era keemasan dan ketamaddunan Islam yang amat mengagumkan. Demikianlah diantara janji-janji Allah SWT sepertimana dalam firmanNya tadi. Di dunia mereka diberi kesejahteraan, kekuasaan dan kemajuan dan di akhirat mereka akan diberi balasan Syurga. Sesungguhnya Allah Taala memuliakan seseorang Islam:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal solih seraya berkata: Sesungguhnya aku seorang Islam." (Surah Fushshilat, ayat 33)

Konsep Islam ialah kehidupan berasaskan ubudiah til-lah hi Wahdah iaitu pengabdian diri hanya kepada Allah Taala semata-mata. Malangnya, sering timbul kekeliruan dikalangan umat Islam sendiri tentang makna "Islam". Ini adalah diantara punca utama yang telah menjerumuskan masyarakat Islam hari ini ke lembah kemunduran, kehinaan, perpecahan serta mangsa eksploitasi golongan kafirun. Dunia pada hari ini didominasi oleh penguasa-penguasa kafir dan mungkar manakala umat Islam pula tidak ubah seperti buih dan pasir yang sentiasa disepakterajang oleh golongan tersebut.


PENGERTIAN ISLAM

Menurut etimologi, perkataam "Islam" berasal dari bahasa Arab iaitu 'salima' yang bererti selamat sentosa. Dari asal perkataan ini ia dibentuk kepada perkataan 'aslama' yang bermakna "memeliharakan dalam kesentosaan, menyerah diri, tunduk, patuh dan taat". Perkataan 'aslama' inilah yang menjadi asas atau pokok kepda perkataan 'Islam'. Orang yang melakukan 'aslama' bererti beliau telah masuk Islam. Beliau dinamakan 'Muslim', yang bererti telah membuat pengakuan untuk taat, menyerah diri dan patuh kepada Allah SWT.

Hj Dusuki Hj Ahmad (1976) mentakrifkan Islam sebagai nama bagi agama Allah yang diturunkan kepada semua manusia supaya dapat mereka mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Agama ini telah diturunkan sejak Nabi Adam a.s. lagi hinggalah ke era Nabi Muhammad s.a.w. Dasar agama ini tetap tidak berubah disepanjang zaman: iaitu setiap insan dikehendaki mempercayai Allah Taala, para malaikatNya dan lain-lain. Yang berubah hanya perkara-perkara berhubung syariat semata-mata. Syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah yang terakhir dan  menasakhkan (membatalkan) syariat-syariat terdahulu. Syariat ini akan berkekalan hingga ke hari kiamat. Manakala 'Islam' ialah nama yang diberikan oleh Allah Taala sendiri sebagaimana firmanNya:

"Sesungguhnya agama disisi Allah hanyalah Islam." (Surah Ali Imran, ayat 19)

Mohd Sulaiman Hj Yasin (1984) pula telah mendefinasikan Islam sebagai penyerahan diri kepada Allah Taala dengan penuh keikhlasan hati. Ini telah dijelaskan oleh maksud ayat-ayat berikut:

"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan, dan mengikut agama Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah?" (Surah Al Baqarah, ayat 125)

"Apakah selain dari agama Allah mereka mencari-cari, sedangkan kepadaNya (Allah) menyerah diri (Islam) segala yang di langit dan segala yang di bumi; dan kepadaNya mereka semua akan dikembalikan." (Surah Al Baqarah, ayat 125)

Penyerahan diri ini mempunyai hubungan paling rapat dengan konsep kesujudan diri kepada Allah Taala. Konsep kesujudan diri kepada Allah tidak hanya setakat sujud jasmani dan rohani didalam solat sahaja tetapi ia merangkumi penyerahan diri kepada Allah Taala didalam semua aspek kehidupan insan disemua bidang kegiatan, keahlian dan pekerjaannya. Menurut Mohd Sulaiman Hj Yasin (1984), Islam dalam konteks ini merangkumi empat bidang pokok dan asasi:

  • Penyerahan diri kepada Allah dalam konteks Aqidah.
  • Penyerahan diri kepada Allah dalam konteks Ibadah.
  • Penyerahan diri kepada Allah dalam konteks Akhlak.
  • Penyerahan diri kepada Allah dalam konteks perundangan atau syariat.
Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa pada suatu hari Malaikat Jibril telah datang menemui Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang Islam dan dengan sekaligus memberikan pelajaran kepada orang yang hadir di majlis Rasulullah tentang cari mempelajari agama:

"Ceritakan kepadaku (wahai Muhammad) tentang Islam! Rasulullah menjawab: Islam ialah engkau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hambaNya dan rasul Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah jika engkau berkuasa." (Perawi: riwayat Imam Muslim)

Dalam kandungan hadis diatas diperjelaskan bahawa Islam itu terdiri dari lima rukun iaitu pengakuan tiada tuhan selain Allah Taala, pengakuan terhadap kerasulan Muhammad s.a.w., perlaksanaan amal ibadah yang terdiri dari solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Menurut pandangan Dr Abdul Karim Zaidan (1984), amal ibadah dalam konteks ini ialah amal solih yang merangkumi semua perbuatan yang diredai Allah yang memenuhi dua syarat iaitu sesuai dengan ajaran Islam dan bertujuan untuk mencapai keredaan Allah Taala. Beliau juga menegaskan bahawa Islam adalah merupakan jawaban terhadap tiga persoalan yang selalu dihadapi oleh umat manusia sejak dahulukala lagi iaitu:

  • Siapa mencipta manusia dan bagaimana prosesnya?
  • Apakah hakikat kehidupan manusia?
  • Apakah kesudahan nasib manusia sesudah mati?
Allah Taala telah menjawab ketiga-tiga pertanyaan tersebut dengan jawapan-jawapan yang konkrit:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian  air mani itu kami jadikan segumpal darah lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian  Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta yang paling baik." (Surah Al Mukminun, ayat 14)

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu." (Surah Adz Zaaryat, ayat 56)

"Kemudian kepada Tuhanmulah kambalimu lalu Dia memberitakan kepadamu apa yang telah kaum kerjakan." (Surah Az Zumar, ayat 7)

"Dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu)." (Surah An Najm, ayat 42)

Maksud ayat-ayat diatas menegaskan bahawa makhluk bernama manusia dahulunya tidak wujud. Kemudian ia dijadikan Allah dari tanah sedang keturunannya dijadikan dari air mani yang hina. Tujuan manusia diciptakan tiada lain melainkan untuk beribadah kepada Allah Taala iaitu dalam ertikata lain tunduk dan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkanNya demi kebahagian dunia dan akhirat (Abdul Karim Zaidan, 1984).

Selanjutnya dijelaskan tentang kesudahan manusia sesudah mati:  iaitu kembali kepada Penciptanya untuk dinilai segala amal perbuatannya selama hidup di dunia dan dibalasi dengan ganjaran yang setimpal bertepatan dengan amalannya tadi - samaada ke Syurga atau ke Neraka.

Menurut Drs Nasruddin Razak (1982), masyarakat barat telah mentakrifkan Islam sebagai 'Mohammedanism' dan 'Mohammedan'. Pengistilahan ini bukan sahaja tidak tepat malahan ia bermaksud "fahaman" atau ideologi Muhammad atau pemujaan terhadap Muhammad sebagaimana perkataan "Kristian' yang mengandungi pemujaan terhadap Nabi Isa a.s. Perkataan 'Islam' tidak mempunyai hubungan dengan orang atau manusia tertentu atau sesuatu tempat. Ia jelas berasal dari Allah Taala.

Ringkasnya, Islam adalah "way of life", peraturan bersifat integral, dasar akhlak, pedoman hidup, petunjuk dan ubat mujarab untuk membahagiakan masyarakat (Abdul Karin Zaidan, 1984). Islam ialah satu-satunya agama yang diakui dan diiktiraf oleh Allah Taala dan yang telah diredaiNya untuk hamba-hambaNya. Menurut Syed Ahmad Semait (1982), menganuti Islam adalah WAJIB hukumnya bagi seluruh umat manusia kerana Allah Taala telah memerintahkan kita supaya memilih Islam, bukan selainnya. Bukan agama kristian, yahudi, buddha atau sebagainya. Semua agama-agama tersebut (kristian dan yahudi) telah dimansuhkan (dibatalkan) dan agama-agama lain tidak pernah diakui sebagai agama disisi Allah sebagaimana maksud firmanNya:

"Barangsiapa yang memilih agama selain Islam, maka agama itu tiada akan diterima daripadanya, dan dia di Hari Akhirat nanti tergolong dari orang-orang yang merugi." (Surah Ali Imran, ayat 85)

(...bersambung)

No comments:

Post a Comment

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...