Thursday, January 13, 2011

CUTI BOLA

Selepas menatap komen A Kadir Jasin (melalui blognya) terhadap "cuti bola" pada 31 Disember 2010, saya terpanggil untuk meluahkan perspektif peribadi saya terhadap perkara ini. Sebelum itu kami sepejabat telah berpanjang-lebar dengan cuti yang pelik ini. Suka, memang suka. Ada yang "pro". Ada juga yang "kontra", terutamanya si majikan swasta. Kecoh. Kerana mereka terpaksa membayar sebanyak dua kali ganda nilai harian bagi "overtime" atau "gaji hari". Sebagai pekerja dalam sektor awam, mungkin impaknya kurang jelas. Tetapi bagi para pengusaha sektor perindustrian atau pengusaha-pengusaha yang memiliki ramai pekerja, ini merupakan suatu mimpi ngeri untuk mereka.

"Cuti bola" diistiharkan buat seluruh negara apabila pasukan 'Harimau Malaya' (yang merupakan pelapis) berjaya menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. Agregat ini dicapai apabila Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 di Kuala Lumpur dan Indonesia menewaskan Malaysia 2-1 di Jakarta dalam Piala Suzuki AFF (Asean Football Federation). Akibatnya, pemerintah mengistiharkan cuti satu hari sempena meraikan kejayaan itu. Tidak lupa, para pemain bola telah diberikan pelbagai anugerah. Ada yang dihadiah sebuah rumah serta sekeping tanah. Macam-macam lagi.

Mungkinkah ini suatu budaya baru yang cuba dibina bagi negara ini? Kita cepat teruja. Apabila sesuatu yang hebat terjadi, maka kita segera meraikannya tanpa banyak alasan dan berfikir panjang. Bukan kita tidak suka kepada cuti. Justeru perlu dipastikan apakah implikasi jangkapendek dan jangkapanjang disebalik keraian-keraian sebegini. Kalau cuti-cuti serupa ini dapat meningkatkan daya dan nilai produktiviti, itu memang baik. Tetapi jika ia sekadar retorik politik, eloklah dihentikan sahaja. Jangan dibaurkan antara kejujuran dengan tujuan peribadi. Jangan sampai falsafah Machiavelli membaham minda kita yang bersih dan murni. Machiavelli mungkin sudah terlalu korup. Jadi, haruskah kita mengangkat beliau sebagai mahaguru kita?

Jika dikaji tentang status Piala Suzuki AFF (dahulunya Piala Tiger), ia tidak lebih dari pertandingan bolasepak bertaraf kelas dua sahaja. Itupun di peringkat ASEAN. Namanya agak pelik, lantaran ia tajaan syarikat Suzuki (dari Jepun). Oleh itu ia jauh lebih rendah dari status Piala Merdeka (Pesta Bola Merdeka). Apatah lagi Piala Asia. Mungkin sedikit atas dari Piala FAM atau SemiPro (lantaran membabitkan negara-negara ASEAN). Kita tahu bahawa negeri-negeri Asia Tenggara bukanlah jaguh bolasepak. Suatu ketika dahulu memang ada yang disegani (seperti Burma dan Malaysia sendiri). Tetapi hari ini rata-rata pasukan bolasepak Asia Tenggara tenggelam-timbul bagai sabut kelapa.

Kita belum lagi berjaya mengembalikan kredibiliti kita seperti di tahun 70an dan awal 80an. Di waktu itu Malaysia merupakan salah-satu dari gergasi bolasepak Asia yang setaraf dengan Hong Kong, Korea, China dan Jepun. Kita pernah membelasah Arsenal dengan 3-0 dalam satu perlawanan persahabatan (Moktar Dahari sebagai kapten pasukan pada ketika itu). Hari ini kita berada di ranking 142 (dikeluarkan oleh FIFA pada 12 Januari 2011) berbanding Jepun (ranking 29), Korea Selatan (ranking 39), Thailand (ranking 119), Indonesia (ranking 126), Vietnam (ranking 136) dan Singapura (ranking 139).

Kita terbenam jauh dibawah jiran-jiran kita sendiri. Berbanding badminton, skuash, bowling atau hoki (ranking 10 oleh International Hockey Federation), bolasepak kita hari ini masih belum menyerlahkan sebarang kewibawaan. Bagi sukan hoki contohnya, Malaysia merupakan satu-satunya "gergasi" hoki di Asia Tenggara dan antara yang digeruni di peringkat dunia. Hoki Malaysia hanya sejengkal dibelakang musuh-musuh tradisinya German, Belanda, Australia, England, Spain, Pakistan, India, Argentina dan musuh baru iaitu Republik Korea. Malangnya hoki kita lebih banyak dikritik, menelan tohmahan dan kecaman. Walhal bolasepak yang masih belum sampai ke tahap mana telah disambut dengan sorakan yang sukar diterima akal. Kita berada di ranking 142. Tetapi kita bersorak bagai orang gila.

Kita lihat dulu sejauh mana pasukan pelapis dapat mengembalikan martabat bolasepak negara ini. Paling tidak, di peringkat Asia. Jadi, sementara itu, janganlah kita mudah nak "melatah" apabila mencapai sesuatu. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki serta dibuktikan. Masih jauh lagi padang yang perlu ditempuh. Masih banyak lagi gawang gol yang perlu dirobohkan. Barulah kita boleh mendabik dada dan memproklamasi bahawa kita adalah juara mutlak dan jaguh berkasta tinggi.

Berbalik kepada keputusan Piala Suzuki tempohari, adakah ia suatu kemenangan yang terlalu besar? Kemenangan melalui agregat 4-2 membuktikan bahawa kejayaan kita tidak mutlak. Kita menang pada pusingan pertama. Tetapi tewas di pusingan kedua. Sepatutnya ada pusingan penentu bagai membuktikan siapakan juara sebenar. Jika tidak, ia (secara teknikalnya) hanya berkesudahan dengan seri (tiada siapa jadi juara). Jadi, mengapakah kita harus bertindak keterlaluan dengan mengistiharkan cuti satu negara?

Adakah ini satu gimik sosiopolitik? Atau, budaya apakah yang cuba direncana dan dibekalkan untuk memerangkap minda masyarakat?

No comments:

Post a Comment

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...