Monday, March 30, 2009

PENGERTIAN BUDAYA


Kecelaruan budaya terkini dalam masyarakat kita harus dianggap sebagai cabaran kritikal. Sebelum kita benar-benar hilang budaya, langkah paling drastik amat perlu. Risiko perlu diambil. Sebagaimana si saudagar, meraih untung dari pengambilan risiko. Semakin besar risiko, semakin banyak laba ditagih. Mempertahankan budaya tak ubah seperti berniaga. Tapi budaya apa yang mahu dipertahankan?

Pengertian budaya terlalu mudah, iaitu BUDI + DAYA. Budi bermaksud sesuatu yang positif, mulia, baik untuk diamali dan perlu dipertahankan. Daya ialah faktor yang menggerakkan sesuatu ke arah tertentu. Apabila daya digembling dengan budi maka hasilnya, insyaallah, bakal positif. Memang perlu ada "force" yang perlu merangsang kepada amalan yang baik. Dan "force" itu bermula dari dalam diri individu membawa kepada pengelompokan yang lebih besar. Diperluaskan ke seluruh pelosok petempatan, negeri dan negara.

Kita pernah mendengar perkataan "akalbudi" atau "budibicara" (prerogative). Mengapa perlu "akalbudi"? Dan mengapa pula ada "budibicara"? Kenapa perlu diselitkan "budi" pada perkataan-perkataan berkenaan? Mengapa orang sekarang gemar menggunakan ungkapan-ungkapan seperti itu dalam persuratan moden? Sekadar permainan bahasa atau menyedapkan sebutan semata-mata? Atau untuk merangsang telinga dan otak si pendengar?

Pun begitu budaya tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar dalam masyarakat. Dan ia juga tidak akan membawa mesej bahawa sesuatu kaum atau masyarakat itu sungguh baik, bersopan santun, penuh karisma, mulia atau lebih tinggi darjatnya dari yang lain. Sebaliknya ia mungkin sesuatu yang cukup berkonflik dengan budaya masyarakat yang lain. Sebagai contoh, protokol raja-raja di barat tidak sama dengan protokol raja-raja Melayu kecuali jika terjadi amalan fotokopi sesama mereka. Begitu juga dengan budaya samurai di Jepun samasekali terpisah dengan budaya koboi di Amerika Utara. Budaya Islam mengharamkan penyembahan manusia dan patung sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat kafir. Jelaslah bahawa budaya adalah suatu terminologi yang cukup luas dan penuh kontradiksi.

Negara ini pernah mencipta apa yang digelar sebagai "Dasar Kebudayaan Kebangsaan" yang berteraskan kebudayaan Melayu. Gagasan ini tercetus hasil dari Trajedi 13 Mei 1969 yang memperlihatkan peristiwa berdarah konflik kaum di seluruh negara. Sentimen perkauman yang dikatakan dipromosi oleh Parti Komunis Malaya dan direstui parti-parti pembangkang pada ketika itu telah membangkitkan suatu perasaan asabiah yang melampaui garis kaum dan puak.


Pemerintah dibawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) terpaksa mewujudkan beberapa akta dan dasar-dasar penting demi menangani situasi dan senario sosiopolitik negara pada ketika itu. Selain Rukunegara, Akta Hasutan, ISA, DEB, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan berbagai macam peraturan lain, Dasar Kebudayaan Nasional (DKN) turut digubal. Objektifnya ialah memperkukuh integrasi kaum yang tercalar dek kisah 13 Mei 1969.

Soalnya, sejauhmanakah DKN telah difahami, diperluaskan, dihayati dan diimplementasi? Orang lebih banyak bercakap soal DEB dan ISA hingga menjadikannya sebagai isu yang dipolitikkan. Masyarakat lebih gemar membicarakan soal politik wang, harga minyak, harga barang dan macam-macam lagi. Tetapi siapa peduli tentang DKN? Siapa benar-benar serius memikirkan tentang konsep DKN? Mana pergi budayawan-budayawan kita? Apakah yang telah mereka tegakkan? Tiang seri gedung-gedung produksi yang memastikan kekayaan material yang berterusan? Atau mereka juga turut dihanyutkan oleh arus budaya tunggang-langgang hari ini?

Tragedi 13 Mei 1969 sepatutnya menjadi titik-tolak kepada permulaan yang lebih mulia dan mantap dalam kontek budaya nasional. Malangnya sejarah tidak pernah menjadi sumber rujukan penting dalam dunia korporat dan teknokrat sekarang. Budaya hanya menjadi bahan picisan yang terpinggir. Budaya-budaya asing menjadi sulaman terkini yang diutamakan. Budaya yang gilakan wang ringgit dan keagungan materialisme menjadi asas kepada perjuangan budayawan hari ini. Seni bukan lagi untuk seni. Sebaliknya seni ialah untuk kekayaan dan hidup glamor.

Pakaian tradisi Melayu yang diperagakan hari ini hanya sekadar pameran untuk tontonan generasi baru atau pelancong asing. Lagipun, apalah yang ada pada pakaian. Ia tidak lebih dari sekadar pakaian. Corak lama mahupun moden, ia tetap bertujuan serupa - iaitu sekadar untuk di pakai orang. Seni tradisi bukan lagi penentu maju atau mundurnya bangsa atau negara ini. Sains dan teknologi mengatasi semuanya. Jika benar begitu, mengapa negara masih meleset dalam menghasilkan saintis, teknologis dan penyelidik? Apakah sikap dan pendirian sebenar kita terhadap kemajuan sosial? Dan, jangan kita lupa - sains, teknologi dan penyelidikan adalah akar dalam budaya Islam. Tapi, di takuk manakah kita sekarang?

Dan apabila memperkatakan budaya Melayu sebagai teras DKN, ramai yang mengaru kepala kerana tidak nampak dimanakah teras kebudayaan Melayu itu sendiri. Ini kerana budaya Melayu memiliki pelbagai unsur termasuk Islam, unsur-unsur jati setempat, unsur-unsur hindu, unsur-unsur animism dan pelbagai ragam unsur lain dari alam Nusantara. Bagaimana harus kita memperakui sesuatu unsur itu benar-benar jati Melayu? Terlalu sukar. Ditambah dengan kesan kolonialisme yang terlalu panjang di alam Melayu khususnya di Tanah Melayu. Akibatnya, kita tertanya-tanya apakah budaya yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu sebenarnya?

Kalau kita mengambil "way of life" atau cara hidup sebagai budaya, itu merupakan gambaran sikap terlalu mengambil mudah. Tidak mungkin budaya boleh ditafsirkan sebagai way of life. Kecuali jika kita sudah terlalu "take for granted" dan tidak mempedulikan nilai tradisi. Sekiranya kita mengambil cara hidup sebagai budaya, maka rasuah boleh dianggap budaya penting dalam masyarakat moden. Begitu juga dengan kebendaan, sikap terlalu mementingkan diri, nepotisme, kronisme dan pelbagai "isme" lagi.

Bohsia, bohjan dan rempit misalnya semakin "membudayai" golongan muda khususnya yang terpinggir dari arus pendidikan perdana. Samseng jalanan semakin berkembang biak di sekolah-sekolah. Sikap terlalu memilih kerja semakin menghimpit peluang bekerja untuk golongan siswazah mahupun tidak berijazah hingga menyebabkan angkatan buruh asing dan PATI semakin mengembang biak. Apakah ini budaya kita sekarang? Dimanakah silapnya hingga masyarakat semakin kabur dalam mentafsir budaya sendiri?

Pada suatu ketika pernah pemuka-pemuka sosiopolitik memperkatakan soal generasi muda yang kian hilang arah tujuan. Kebimbangan ini memang ada asasnya. Kita tidak mahu Melayu hanya pada namanya sahaja. Malahan Melayu hari ini banyak yang kehilangan bunyi Melayunya. Sebahagian besar barisan artis Melayu memiliki rangkaian nama-nama terlalu asing dari rumpun sebutan Melayu. Anak-anak yang dilahirkan sebagai Melayu hari ini tidak semestinya bernama "Melayu" lagi. Kerana itu sudah tidak penting lagi. Siapa sanggup meletakkan nama "Maimunah", "Melati", "Mawar" atau nama-nama "klasik" seperti itu? Ia sekadar menjadi bahan ketawa bagi "orang-orang moden".

Manusia Melayu hari ini bebas memutuskan apa yang mereka mahu. Tiada siapa boleh menghalang kemahuan itu. Linda Joy yang sebenarnya berdarah Melayu samasekali runtuh akar kemelayuannya apabila berazam menjadi murtad. Kian hari kian keras ranjau yang perlu dihadapi Melayu. Budaya Melayu yang dikatakan menjadi teras DKN kini semakin terpisah jauh dari keanggunan dan penghormatan. Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam kebudayaan Melayu kian menghadapi zaman gelap. Anak-anak Melayu sendiri tidak fasih berbahasa Melayu. Apatah yang boleh diharapkan pada yang bukan Melayu? Mungkinkah kita akan menjadi seperti umat Melayu di Singapura yang sudah hilang jati diri dan semangat juangnya atau Melayu di bahagian utara Filipina yang langsung lenyap identiti dan akidah?

Kita sebenarnya terlalu kaya dengan sarjana-sarjana dan cerdikpandai budaya. Tapi apakah yang telah terjadi? Adakah kita sudah kehilangan idea dan wawasan? Semangat juang juga sudah lama terbenam? Dan, kita cuma mengharapkan adanya golongan yang memiliki "kemahuan politik" (political will) untuk bangkit memulihkan keadaan? Adakah kerana seni bukan lagi untuk seni maka kita hanya berupaya memaparkan kerja seni dengan bajet membukit serta tiket tontonan yang terlalu mahal? Adakah kerja-kerja seni hanya dapat dinikmati melalui konsert-konsert atau teater di Panggung Negara? Hanya termampu ditontoni oleh golongan ningrat?

Jika orang bertanya apakah teras kebudayaan Melayu. Jawabannya mudah: Islam. Itulah teras kita. Dalam Perlembagaan telah termakhub bahawa Melayu bermakna seseorang itu Islam, bercakap Melayu dan mengamalkan hidup cara Melayu. Terlalu umum, namun sudah mencukupi dan amat mendalam maksudnya. Oleh itu teras budaya Melayu ialah Islam. Bukan selain dari itu. Dan apabila ia menjadi teras kepada Dasar Kebudayaan Nasional, maka Islam adalah unsur utamanya. Siapa berani menolak? Ini persoalan nasionalisme. Jika mereka menolak, bererti mereka tidak patriotik. Lantaran unsur universal Islam tidak pernah menindas orang lain. Sebaliknya golongan anti-Islam kerap terperangkap dalam jurang prasangka yang melampaui batas.

Kita kerap terbawa-bawa dengan kegilaan berpolitik lantaran pengaruh parti-parti politik. Dan apabila membincangkan halatuju budaya negara, kita mudah tenggelam dihanyutkan oleh isu-isu perkauman yang dibangkitkan oleh pecacai-pecacai politik yang tidak punya maruah diri. Jika kita mengambil sikap yang serupa, maka maruah kita juga tiada bezanya dengan mereka. Bak kata perpatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Dan mampukah kita bertahan kalau media massa perdana menjadi peneraju dalam menyajikan program-program realiti ciptaan barat? Filem-filem dan drama-drama asing kekal mendominasi paparan di kaca tv. Tidak usah bercerita artis-artis asing yang kerap diundang mengadakan konsert atau tentang pengaruh internet dan laman web. Segalanya seakan mendarah-daging dalam tubuh generasi terkini bagaikan Melayu ini sudah mati. Teras budaya Melayu bagaikan terhumban ke dalam longkang. Dasar Kebudayaan Nasional berciciran entah kemana.

Kegilaan kepada glamor, status dan kebendaan. Apa inikah yang merangsang amalan berbudaya kita sekarang? Kalau kita mahu melihat kebangkitan semula "Andalusia" dalam teras budaya ini, tiada jalan yang mudah. Tetapi tidak mustahil. Kuncinya - pulanglah ke pangkal jalan dan berjuanglah dengan penuh kebenaran. Jangan sampai kita dicaci-maki oleh anak bangsa sendiri kelak lantaran bertanggungjawab merosakkan teras ini.

No comments:

Post a Comment

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...