Thursday, February 20, 2014

MENGAMPU: SUATU BUDAYA UNIVERSAL?


BENARKAH.....?

Benarkah para pengampu perlu disingkirkan? Wajarkah mereka dihapuskan sebelum wabak kronisme, nepotisme dan pelbagai "isme" menjadi barah dalam masyarakat? Namun, sebelum itu, siapa itu PENGAMPU? Bolehkah kita kenal mereka? Adakah warna kulit serta rambut mereka sama dengan apa yang ada pada tubuh badan kita? Dapatkan kita membezakan siapakah para PENGAMPU di kalangan kita? Ataupun, rupanya kita sendiri adalah salah seorang dari PENGAMPU yang berkarisma atau PENJILAT PUNGGUNG berkasta tinggi?

PENGAMPU berasal dari perkataan AMPU, iaitu alat atau benda yang digunakan untuk menyokong sesuatu binaan, barangan, orang atau apa-apa sahaja jasad hidup atau mati atau objek yang memerlukan sokongan untuk memastikan ia stabil dan berada kukuh di tempatnya. Oleh itu PENGAMPU merupakan benda atau alat penting dalam membantu pengukuhan dan kestabilan sesuatu benda dari bergerak-gerak dan runtuh ke bawah.

Namun apabila ia dipakaikan kepada manusia, makna yang tersurat amat berbeza dari maksud yang tersirat. Ini adalah gara-gara tabiat manusia sendiri yang berani mencemar manusiawi serta kemuliaan mereka sendiri. Mereka tidak malu-malu menjatuhkan maruah masing-masing dengan bermuka-muka, bersikap hipokret dan munafik seperti yahudi dan lain-lain. Mereka sanggup menjual apa sahaja asalkan apa yang diimpikan itu tercapai. Perangai mereka digambarkan tidak ubah seperti anjing-anjing jalanan yang terjelir lidahnya yang sentiasa kehausan air. Mentaliti mereka adalah sedarjat dengan mentaliti pecacai-pecacai pengangkat najis di era penjajahan dan tahun 1960an dahulu yang berlumba-lumba siapa berjaya memenuhkan tong najis masing-masing dengan secepatnya dan siapa yang berjaya mengumpul najis terbanyak pada hari berkenaan.


DASAR PENGAMPU....

Demikianlah gambaran untuk si PENGAMPU. Terlalu hina. Tapi, siapa peduli? Dan, amat jelas. Status ini masih tidak memadai untuk mengubah sesuatu ke arah kebaikan. Mereka tidak peduli dengan apa saja tanggapan mahupun gelaran yang bakal diberi orang. Yang penting, matlamat tercapai. Kepentingan persendirian terpenuh. Cita-cita peribadi termakbul. Yang lain peduli apa? Masakan status "anjing pecacai" dapat mengatasi gelaran "Datu", "Datuk Seri", "Tan Sri", "Tun" atau apa-apa sahaja darjat "keinderaan" yg lain..?

Demikianlah yang terjadi. Jika kita tidak cukup bijak dan berhati-hati dalam mengurus diri-sendiri, kita juga mungkin akan tercampak ke dalam jurang pengampuan dan penjilatan yang cukup mengerikan. Dan kita akan cepat berdebat serta menegakkan benang basah masing-masing: "...demi survival. Demi hidup..!" Walhal, memang seronok untuk jadi pengampu. Banyak faedah dan keuntungannya!


RAJA MANDELIAR (Man de Liar...?) DAN SI KITOL

Sejarah telah menceritakan bagaimana Raja Mandeliar serta pecacainya Si Kitol mengampu para aristokrat kesultanan Melaka yang berakhir dengan pembunuhan Bendahara Tun Mutakhir sekeluarga. Hanya Tun Fatimah yang terselamat, lantaran mahu diperisterikan oleh sultan. Gambaran pembunuhan berprofil tinggi ini cukup menyayat hati lantaran ia merupakan permulaan kepada keruntuhan empayar Melaka pada keseluruhannya. Bendahara atau Perdana Menteri yang menggantikan Tun Mutakhir tidak cekap untuk menangani isu-isu dalam yang terlalu korup selain dari isu-isu serangan tentera Portugis yang silih berganti.

Portugis yang datang dengan persenjataan modern dan terkini (di zaman itu) pada peringkat awalnya berjaya dipatahkan. Namun kepupusan nilai patriotism dikalangan rakyat Melaka serta kebencian mereka yang lama terpendam terhadap kezaliman raja-rajanya akhirnya terbayar dengan cara memberi sokongan serta informasi kepada pihak penjajah. Akhirnya, empayar Melaka berkubur dalam teks Sejarah Melayu. Demikianlah bahayanya pengampu.


MATERIALISME, NEPOTISME, KRONISME...

Namun hari ini bukan sekadar gelagat pengampuan dan penjilatan. Malah ia lebih parah dari itu. Materialisme sudahpun menjadi pegangan hidup sesetengah golongan. Kronisme yang diburukkan oleh nepotisme telah melahirkan pemikiran yang terlalu taksub, despotik dan fanatik terhadap keduniaan. Dan ini memperlengkapkan pakej individu sebagai ahli barisan pengampu yang cukup berkaliber dan berpengaruh. Soalnya, jika pemerintah tidak cukup pandai menyaring barisan pemuka-pemukanya untuk menerajui wilayah, negeri mahupun negara, maka golongan pengampu ini bakal memenuhi rongga keahlian dalam jemaah exco wilayah, negeri atau negara.

Keadaan ini bukan sekadar mengundang bencana, malah lebih dari itu. Kalaulah si pengampu ini berkelayakan dan berkepakaran dalam pentadbiran awam, mungkin balanya dapat diminimakan. Tetapi jika beliau hadir dari kalangan pengampu dan penjilat kelas satu yang hanya berlagak pandai, nantikanlah balak yang bakal menimpa masyarakat yang diperintahnya.



SANG PEMERINTAH PERLU BIJAKSANA...

Machiavelli dalam suratnya kepada pemerintah Itali di zaman beliau pernah mengingatkan raja tentang bahaya jika salah pilih menteri. Yang beliau maksudkan ialah para pengampu yang memenuhi ruang istana, yang lebih suka mengurus diri sendiri dan gemar berselindung diri hingga sukar untuk mereka untuk tidak terjerumus dalam skandal. Dan andainya jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan menerima tamparan atau risiko dipermalukan.

Lantaran itu beliau mencadangkan agar raja perlu pragmatik dengan memilih jalan tengah. Seorang raja atau pemerintah yang pintar akan melantik tokoh-tokoh yang bijaksana untuk mentadbirurus pemerintahan dan akan menentukan hanya mereka sahaja yang boleh memberi pendapat dalam hal-hal yang diizinkan. Dalam pada itu, raja perlu responsif, terperinci dan menjadi pendengar yang baik dan teliti sebelum membuat sesuatu keputusan.

Menurut Machiavelli, raja harus menampilkan suatu sikap yang boleh mendorong dewan penasihat serta setiap individu penasihatnya tergalak untuk bersikap lebih terbuka, bebas bersuara serta berbahas dan punya rasa yakin untuk tunduk kepada pengaruh raja. Namun begitu, sebagai seorang chauvinis politik, maka Machiavelli tidak dapat lari dari mengetengahkan sokongan terhadap feudalisme dan monarki tulin yang sedia mengalir dalam dirinya.

Mungkin apa yang diketengahkan oleh Machiavelli itu hanya pendapat peribadi beliau. Namun ada asasnya. Sebagai orang yang pernah menjawat pegawai tinggi dalam pemerintahan negara, beliau menggunakan pengalaman serta pengetahuannya itu untuk faedah kerajaan yang wujud pada ketika itu. Jadi, terpulanglah kepada mereka - mahu mendengar atau cuma memekakkan telinga. Tetapi jika para pengampu dibiarkan bermaharajalela di singgahsana, rajalah yang bakal menanggung azab, selain dari rakyat yang bakal menjadi korban.

Dalam senario hari, para pengampu lebih berbisa berbanding di zaman feudal. Mereka membina sesawang pengaruh yang terlalu kental untuk dicantas. Dengan membabitkan tokoh-tokoh utama dalam politik dan merangkul leher tokoh-tokoh korporat dalam persekongkolan mereka, gabungan ini menjadi terlalu mantap untuk dicabar. Dan, perhubungan akrab dengan kerabat-kerabat berdarjat brahma melengkapkan persekongkolan ini selengkapnya hingga sukar diburaikan.

Pengampu atau "anjing pecacai" inilah yang seringkali merosakkan keharmonian dalam sesuatu organisasi. Dengan nilai-nilai hipokrasi, nepotisme, kronisme, korupsi, ultravirus serta rangkaian sesawang yang cukup luas dan lebar, tiada siapapun yang boleh selamat dari cengkamannya. Kecuali mereka yang benar-benar ikhlas dalam langkah dan perjuangannya.

Untuk membuktikan ini, cuba lihat berapa ramai pengampu-pengampu di keliling anda sekarang, terutama yang menyandang jawatan-jawatan penting. Cuba kaji perangai mereka dengan terperinci. Kaji latarbelakang mereka, termasuk "Resume" masing-masing. Selepas itu, buatlah kesimpulan sendiri. Adakah mereka cukup kompeten untuk menyandang jawatan-jawatan berkenaan. Adakah kelulusan, pengalaman dan kepakaran mereka itu relevan dengan status-quo mereka? Atau, selama ini mereka asyik mengampu dan berpolitik untuk naik ke atas?


SINGKIRKAN PENGAMPU....!

Haruskah kita membiarkan para pengampu ini terus wujud dalam organisasi-organisasi dan jabatan di negara ini? Patutkah kita membiarkan "kaki-kaki kelentong" dan pembelit-pembelit besar ini terus hidup bernyawa? Bagai cacing-cacing pita yang menghisap darah sekandang khinzir? Wajarkah kita membiarkan diri dilayani serta diperbodohkan seperti itu? Sedang si pengampu dibiarkan membolot segala-galanya dari mukabumi ini?

Sebab itu, para pengampu perlu disingkirkan!

NABI ADAM VS TEKNOLOGI - SATU ANALISIS RINGKAS (BAB 2)

 (Sambungan dari BAB 1) BAGAIMANA JARAK JANGKAUAN PERJALANAN NABI ADAM? Mengapa kita perlu tahu tentang ini? Agar kita dapat membuat suatu a...